Datuk, nenek, cucu maut rumah terbakar

Datuk, nenek, cucu maut rumah terbakar

Seorang lagi cucu berusia 14 tahun dilaporkan cedera di kepala dan dirawat di hospital.

Suami isteri warga emas dan cucu perempuan berusia 11 tahun maut dalam kebakaran memusnahkan kediaman mereka di Kampung Paya Redan, Pagoh, awal pagi tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suami isteri warga emas dan cucu perempuan maut dalam kebakaran memusnahkan kediaman mereka di Pagoh, Johor, awal pagi tadi.

Seorang lagi cucu mereka cedera dalam kejadian di Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan pada 1.30 pagi itu.

Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76, maut di lokasi kejadian, manakala Noradriana Nor Hisyam, 11, dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Ketua Polis Muar, Raiz Mukhlis Azman Aziz, berkata mayat mangsa dihantar Unit Forensik HPSF untuk bedah siasat.

“Sementara itu, seorang lagi penghuni yang juga cucu mangsa, Norazima Mohd Radhi, 14, dilaporkan cedera di kepala dan masih dirawat di HPSF,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, menurut saksi awal kejadian dipercayai berlaku sekitar 1.30 pagi.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Mohd Fadli Ismail, berkata selepas menerima panggilan kecemasan pada 2.25 pagi, 21 anggota bersama beberapa jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

Katanya, kejadian melibatkan rumah jenis separuh kekal berkeluasan 3.7×5.5m yang terbakar 85%.

“Operasi tamat pada 4.24 pagi. Kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.