PM digesa bidas guna istilah ‘kafir harbi’ terhadap rakyat bukan Islam

PM digesa bidas guna istilah ‘kafir harbi’ terhadap rakyat bukan Islam

Zaid Ibrahim berkata Anwar Ibrahim harus terajui usaha mendidik, mengatakan permohonan maaf dan sekatan ke atas ucapan tidak memadai.

zaid anwar
Zaid Ibrahim seru Perdana Menteri Anwar Ibrahim jelas mengapa salah menggunakan istilah ‘kafir harbi’ terhadap rakyat bukan beragama Islam.
PETALING JAYA:
Bekas menteri undang-undang menggesa perdana menteri membidas perbuatan menggelar rakyat yang bukan beragama Islam ‘kafir harbi’.

Zaid Ibrahim menyeru Anwar Ibrahim menjelaskan mengapa salah menggunakan istilah itu, kerana permohonan maaf dan sekatan ke atas ucapan tidak memadai, katanya.

“Satu-satunya penyelesaian adalah pendidikan yang baik, tetapi pemimpin utama, Anwar, harus terajui hala tuju itu,” katanya di X.

Zaid mengulas perbalahan antara DAP dan PAS selepas seorang individu menggelar DAP dengan istilah itu pada suatu ceramah sempena PRK Nenggiri.

Penggunaan istilah itu oleh individu berkenaan, yang dikatakan pengerusi majlis, dirakamkan dalam suatu video.

Turut dilaporkan ceramah itu dihadiri oleh Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman dan Pengerusi Muafakat Nasional Annuar Musa.

Zaid berkata golongan yang menggunakan istilah ‘harbi’ itu mungkin tidak tahu asal usul perkataan itu, atau maksud dan konteks yang betul.

“Hari ini, orang Cina (termasuk DAP) sebahagian daripada negara Islam bernama Malaysia. Maka adalah salah jika istilah ‘harbi’ digunakan terhadap mereka; mereka bukan orang asing, mereka tidak berperang dengan negara Islam,” katanya.

Zaid percaya pengikut PAS perlu didikan tentang penggunaan istilah Islam secara betul, serta erti demokrasi dan kebebasan beragama.

“Sekolah kita gagal melawan ekstremisme agama,” katanya, sambil menyeru pendidikan secukupnya tentang Perlembagaan, sejarah Malaysia, dan konsep Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.