
Timbalan perdana menteri berkata, proses pecah lot untuk tanah berkenaan sudah selesai dilakukan.
“Seramai 2,200 peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar akan mendapat hak milik tanah berkenaan.
“Perkara ini dalam proses sebelum diserahkan hak milik kepada peserta membabitkan 7,000 hektar,” katanya pada sidang media selepas program bertemu penduduk di Renok Baru, Gua Musang, hari ini.
Hadir sama Ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengerusi Kesedar Zawawi Othman.
Pada masa sama, Zahid menafikan dakwaan hanya kerajaan negeri boleh menyelesaikan isu tanah peneroka Kesedar, memandangkan tanah itu sudah menjadi milik lembaga itu.
“Kita hormat kerajaan negeri dalam soal memberi hak milik tanah, tapi kerajaan negeri telah beri hak milik, tanah itu hak milik Kesedar,” katanya.
“Tanah yang menjadi milik Kesedar, premiumnya telah dibayar dan geran besar telah diperolehi, maka pengagihan kepada peneroka dan peserta Kesedar akan dilakukan secara berfasa.”
Terdahulu, Menteri Besar Kelantan Nassuruddin Daud dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan meluluskan pemberian geran tanah sekiranya Kesedar menyelesaikan bayaran premium tanah peneroka.
“Kalau (Kesedar) kata boleh bagi geran, (itu) tak betul, hanya kerajaan (negeri) boleh bagi geran. Kalau (Kesedar) jelaskan premium, kita bagi geran,” katanya.
Zahid hari ini mengingatkan kerajaan negeri agar tidak mengugut rakyat dengan penyerahan hak milik tanah peneroka.
“(Apabila) membabitkan tanah Kesedar dan kita bayar premium, kerajaan negeri tiada hak,” katanya.
“Apabila tanah itu milik kita, kita berhak beri hak milik kepada peneroka. Jadi, saya mengingatkan semua pengundi supaya jangan terpedaya dengan ugutan berkenaan,” katanya.