
Nassuruddin berkata dalam pertembungan dalam satu-satu pilihan raya itu biarlah hanya melibatkan jentera antara parti bertanding.
“Sebab yang bertanding ini parti lawan parti, bukan parti lawan kerajaan. Kita nak keadilan jadi aset kerajaan tidak sepatutnya digunakan,” katanya kepada wartawan.
Katanya, kerajaan Kelantan juga mengarahkan supaya semua jentera kerajaan negeri tidak digunakan untuk berkempen di Nenggiri.
“Saya pun guna kenderaan saya sendiri, saya sudah arah semua exco tak boleh guna kenderaan kerajaan untuk berkempen perlu guna kenderaan sendiri semasa berkempen,” katanya.
Sebelum ini terdapat dakwaan, beberapa aset kerajaan digunakan BN untuk berkempen termasuk menjadikan Dewan Teratai Pos Tohoi sebagai bilik gerakan dan penggunaan kenderaan milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos tidak akan diadakan selepas semua 14 pengundi yang terbabit memilih mengundi secara pos.
Menurut SPR seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK DUN Nenggiri yang membabitkan 20 Pusat Daerah Mengundi.
BN mempetaruhkan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, manakala PN pula mempertaruhkan Mohd Rizwadi Ismail menggunakan lambang PAS.