Sepatutnya risau lesen murah bukan mahal, kata persatuan institut memandu

Sepatutnya risau lesen murah bukan mahal, kata persatuan institut memandu

Institut Memandu Malaysia berkata pakej lesen memandu mencecah sehingga RM3,000 termasuk tingkat aspek keselamatan dan penyelenggaraan kenderaan.

lesen
Institut Memandu Malaysia berkata penduduk di negara ini beruntung kerana menerima antara perkhidmatan institut memandu terbaik berbanding negara jiran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Institut Memandu Malaysia (Pima) menjelaskan harga pakej lesen memandu terutama di bandar besar yang semakin meningkat kini kerana mengambil kira aspek keselamatan calon dan tenaga pengajar.

Presidennya Mat Aris Bakar berkata kadar RM1,800 hingga RM3,000 untuk perkhidmatan di bandar seperti Kuala Lumpur juga rasional susulan peningkatan kos seperti gaji, penyelenggaraan kenderaan serta penyediaan pakej khas termasuk insurans nyawa.

Katanya, orang awam seharusnya bimbang jika pakej ditawarkan rendah kerana dikhuatiri perkhidmatan disediakan tidak mematuhi aspek keselamatan ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kita risau institut memandu tak boleh bagi perkhidmatan (terbaik) kalau bersaing harga rendah.

“Akhirnya, kereta (untuk ujian memandu) nak tukar baru tak boleh nak selenggara kurang modal, perkhidmatan pun kalau dah murah takut tak sempurna, tak selesa dan pelanggan pula jadi mangsa,” katanya kepada FMT.

“Di luar bandar, penduduk tak ramai jadi harga lesen tak ada masalah…gaji pekerja pun masih boleh bagi RM1,500 tapi di bandar tak boleh sebab rata-rata dibayar RM3,000 ke atas, kalau tak macam mana nak ‘survive’ (bertahan).”

Baru-baru ini, tular satu klip video yang dimuat naik selebriti tempatan mendakwa sebuah institut memandu mengenakan caj lebih RM3,000 untuk mendapatkan lesen kereta.

Susulan itu, Pemuda Gerakan mendesak kerajaan menangani kebimbangan itu dan menggesa Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook campur tangan serta bertindak segera.

Mengulas dakwaan itu, Mat Aris berkata pakej ditawarkan lazimnya sudah meliputi penyediaan insurans nyawa, makanan serta minuman dan perkhidmatan pengangkutan mengambil calon dari rumah ke lokasi latihan.

“JPJ benarkan kita caj RM1 bagi setiap 1km untuk mengambil calon, selain itu tengok juga kereta apa digunakan kerana ada institut memandu letak harga mahal tetapi perkhidmatan profesional.

“Contoh insurans ada yang bagi perlindungan sehingga RM10,000, ada RM30,000…ada yang bagi perlindungan sampai setahun jika berlaku sebarang insiden kepada calon yang baru lulus,” katanya.

Beliau berkata, penduduk di negara ini beruntung kerana menerima antara perkhidmatan institut memandu terbaik berbanding negara jiran.

“Bakal pemandu di Malaysia beruntung kerana tak semua negara mampu sediakan perkhidmatan begini, negara lain tempat ujian memandu masih lagi kerajaan sediakan dan ada negara yang belajar memandu hanya di tanah lapang,” katanya menyebut Thailand sebagai contoh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.