
PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara Azizulhasni Awang mempamerkan kayuhan kelas tersendiri apabila berjaya memecah rekod kebangsaan pada pusingan kelayakan acara pecut Sukan Olimpik Paris 2024.
Azizulhasni berada di kedudukan ke-10 keseluruhan selepas mencatatkan masa 9.402s sekali gus berjaya mara ke pusingan 1/32 berlangsung pada 8.30 malam ini.
Beliau yang digelar ‘The Pocket Rocketman’ berjaya memadamkan rekod kebangsaan dilakukannya pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 dengan catatan masa 9.523s, lapor Kosmo.
Sementara itu, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut mara ke pusingan seterusnya selepas berada di tangga ke-22 keseluruhan dengan catatan 9.635s.
Pada sesi kelayakan sama, pelumba Belanda, Harrie Lavreysen memecahkan rekod dunia apabila mencatat masa terpantas kelayakan dengan 9.088s.