Najib bantah permohonan Majlis Peguam cabar keputusan Lembaga Pengampunan

Najib bantah permohonan Majlis Peguam cabar keputusan Lembaga Pengampunan

Bekas PM itu menyatakan bahawa Majlis Peguam tidak mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan undang-undang tersebut.

najib
Bekas perdana menteri Najib Razak menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Najib Razak memfailkan bantahan awal terhadap tindakan Majlis Peguam mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara dan dendanya atas alasan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan profesional itu tidak sah.

Najib, menerusi afidavit yang diikrarkan oleh peguamnya Muhammad Farhan Muhammad Shafee, menyatakan bahawa Majlis Peguam tidak mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan undang-undang tersebut kerana usul yang diluluskan pada AGM ke-78 badan itu adalah terbatal, ultra vires dan melanggar kewajipan statutori seperti diperuntuk dalam Akta Profesion Undang-Undang (LPA) 1976 apabila diadakan tanpa kuorum kehadiran yang diperlukan.

Muhammad Farhan dalam afidavit yang difailkan pada 6 Ogos berkata, antara usul yang dikemukakan pada AGM itu adalah mendapatkan kelulusan ahlinya untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap Lembaga Pengampunan berhubung keputusan mengenai hukuman penjara dan denda Najib.

“Menurut Seksyen 64(4) Akta Profesion Undang-Undang 1976, kuorum bagi memulakan AGM memerlukan kehadiran 500 ahli Majlis Peguam. Bagaimanapun, saya percaya bahawa pada 10 pagi 16 Mac, kuorum yang diperlukan tidak dapat dicapai.

“AGM itu bermula pada 12.15 tengah hari 16 Mac dengan kehadiran hanya 401 ahli (kira-kira 1.6% daripada jumlah ahli Majlis Peguam), bawah kuorum yang diperlukan dan usul untuk memfailkan semakan kehakiman yang didakwa dibincang serta diluluskan sehingga menyaksikan permohonan ini.

“Saya percaya AGM ke-78 Majlis Peguam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang menyebabkan keputusan untuk memfailkan permohonan ini adalah ultra vires serta perlu dibatalkan,” katanya.

Peguam itu juga berkata, Majlis Peguam tidak mempunyai locus standi bagi memulakan tindakan undang-undang itu kerana tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam perkara berkaitan pengampunan Najib.

Majlis Peguam memfailkan permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman itu pada 26 April lepas, menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bersama-sama Najib sebagai responden.

Majlis itu memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Jan lepas berhubung permohonan bekas perdana menteri itu untuk mengurangkan separuh daripada hukuman penjaranya, yang akan menyaksikan beliau dibebaskan lebih awal pada 23 Ogos 2028, adalah terbatal, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Majlis Peguam juga memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan denda Najib daripada RM210 juta kepada RM50 juta dengan syarat jika ia gagal dibayar, hukuman penjaranya akan dilanjutkan selama setahun, menyebabkan pembebasan awal pada 23 Ogos 2029 terbatal, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Najib, 70, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 dan Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.