Hantaran media sosial PM diturunkan AI, kata Fahmi

Hantaran media sosial PM diturunkan AI, kata Fahmi

Menteri komunikasi berkata Meta memaklumkan ada kakitangannya boleh berbahasa Melayu dan sebahagian kandungan diturunkan AI.

Fahmi Fadzil
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata dalam pertemuan dengan tiga wakil Meta Isnin lalu, mereka memaklumkan masih belum jelas punca hantaran perdana menteri diturunkan.
PUTRAJAYA:
Sebahagian kandungan media sosial Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkaitan Palestin mungkin diturunkan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Jurucakap kerajaan berkata, dalam pertemuan dengan tiga wakil Meta Isnin lalu, firma media sosial itu memaklumkan mereka masih belum jelas punca hantaran perdana menteri diturunkan.

“Kita cuba bertanya adakah tindakan itu dilakukan kakitangan yang membaca dalam bahasa Melayu, kerana hantaran perdana menteri dalam bahasa Melayu, tapi mereka kata ada kakitangan boleh berbahasa Melayu dan sebahagian kandungan diturunkan AI mereka.

“Sehingga pertemuan Isnin lalu kita tak dapat maklumat tepat apa sebenarnya kandungan yang dimuat naik dalam Facebook perdana menteri diturunkan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya.

Fahmi berkata, beliau juga dimaklumkan garis panduan komuniti di platform media sosial itu sering berubah-ubah.

“Garis panduan komuniti bagi Facebook terutamanya seringkali diubah atau ditambah baik, kadangkala selang sehari, apa yang dimaklumkan semalam mungkin berubah (hari ini),” katanya.

Katanya, antara contoh perubahan itu sebelum ini termasuk larangan penggunaan perkataan ‘syahid’ namun dibolehkan selepas mengambil kira ia adalah biasa bagi umat Islam.

Semalam, Meta memohon maaf susulan penurunan hantaran di platform media sosial Anwar membabitkan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh.

Tiga hantaran Anwar pada 31 Julai lalu yang mengutuk pembunuhan Ismail dan berkongsi gambar pertemuan dengan pemimpin Hamas itu diturunkan daripada aplikasi media sosial berkenaan.

Susulan permohonan maaf itu, kandungan tersebut dikembalikan dengan ‘label berita sebenar yang bersesuaian’, kata jurucakap Meta kepada Reuters, dalam maklum balas emel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.