
Muhammad Fadzil Zakaria, 40, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, di hadapan Majistret Melody Woon Sze Mun.
Bagi tuduhan pertama, tertuduh didakwa memasukkan methamphetamine ke dalam tubuhnya dikesan di IPD Pekan sekitar 4.10 petang, pada 3 Ogos.
Bapa kepada seorang anak itu dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda sehingga RM5,000 atau dua tahun penjara, lapor Berita Harian.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim memohon tertuduh dijamin RM3,000.
Peguam Ahmad Deniel Roslan, mewakili Fadzil, berkata anak guamnya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM2,300 dan perlu menyara seorang isteri serta seorang anak kecil.
Ahmad Deniel berkata, tertuduh berjanji untuk hadir ke mahkamah untuk prosiding dan bersedia mematuhi sebarang syarat tambahan.
Melody Woon membenarkan jaminan RM1,300 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Okt untuk sebutan semula kes.
Di mahkamah sama, tertuduh turut didakwa memandu treler di bawah pengaruh methamphetamine menyebabkan dia tidak boleh mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian Nurnazzatul Fashihah Nasruddin, 32, dan Muhammad Waldan Faris Nasruddin, 21.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di KM5, Jalan Pekan-Nenasi-Rompin di Pekan kira-kira 4.15 pagi, 3 Ogos lalu.
Dalam kejadian itu, treler membawa muatan siling kapur dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan disyaki gagal dikawal di selekoh kiri, lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh rumah didiami mangsa.
Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM100,000.
Bagi tuduhan itu, Melody Woon menetapkan jaminan sebanyak RM5,700 dengan seorang penjamin serta menetapkan 26 Ogos sebutan semula kes. Majistret juga mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.