Sindiket dadah RM1.85 juta tumpas, 2 beranak antara ditahan

Sindiket dadah RM1.85 juta tumpas, 2 beranak antara ditahan

Tiga lelaki dan dua wanita berusia 28 hingga 59 tahun diberkas dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor menerusi tiga serbuan pada 31 Julai.

Ketua Polis Johor M Kumar menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media. (Gambar Facebook Polis Johor)
JOHOR BAHRU:
Ibu dan anak serta pasangan kekasih merupakan antara lima individu ditahan kerana dipercayai terlibat sindiket pengedaran dadah membabitkan rampasan bernilai RM1.85 juta.

Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata tiga lelaki dan dua wanita berusia 28 hingga 59 tahun diberkas dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini dan Seri Alam pada 31 Julai lalu.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah menjadikan rumah teres sebagai stor simpanan dan tempat pembungkusan semula dadah, antaranya menggunakan peket minuman sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

“Sindiket pengedaran dadah ini dipercayai telah aktif beroperasi sejak bulan Jun lepas dan dipercayai dadah dibawa masuk dari luar negara.

“Hasil ujian saringan urin turut mendapati tiga suspek yang ditahan positif dadah jenis benzodiazepines serta dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya pada sidang media di IPK Johor.

Kumar berkata, 364 peket serbuk ekstasi, 95g peket ketamin, 3.45g syabu, 64 biji pil ekstasi dan 540 biji pil erimin 5 dirampas dalam serbuan itu.

Polis turut menyita empat kereta dan sebuah motosikal, wang tunai RM75,506 dan pelbagai mata wang asing serta barang kemas dan seutas jam tangan, bernilai keseluruhan lebih RM530,000.

Beliau berkata, semua suspek direman tujuh hari bermula 31 Julai dan tempoh reman disambung tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kumar dalam pada itu berkata, JSJN Johor menahan 15,044 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 3.18 tan bahan itu bernilai RM34.64 juta, sejak 1 Jan hingga 31 Julai lalu.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah kepada JSJN menerusi talian hotline 012 2087222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.