Penjaja, kontraktor derma demi kemampanan sekolah Cina

Penjaja, kontraktor derma demi kemampanan sekolah Cina

Usaha masyarakat Cina menderma untuk pelaburan pendidikan bagi tampung kekurangan dana disediakan kerajaan kepada sekolah vernakular.

SJKC Chung Hwa 2
Bangunan baharu SJKC Chung Hwa 2. Ahli lembaga sekolah sedang menunggu sijil perakuan siap dan pematuhan.
BUTTERWORTH:
Empat tahun lalu, Lim Kai Seng runsing melihat siling kantin sekolah rendah Cina mula pecah dan jatuh, sekali gus mengundang bahaya kepada kira-kira 600 murid dan gurunya.

Sebagai kontraktor, Lim tahu satu-satunya penyelesaian adalah infrastruktur itu dibina semula.

Langkah-lankah untuk mengurangkan mendapan di tapak lembangan sungai belum dilaksanakan apabila Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa 2, dipindahkan pada 2006 ke Jalan Bagan 1, selepas pemaju mengambil alih tapak lama sekolah itu yang berusia 90 tahun di Chain Ferry.

Lim Kai Seng
Lim Kai Seng.

Lim membantu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mendapat sumbangan derma terkumpul RM4.5 juta bagi bina baru kantin dan kelas, bagi menampung kemasukan murid yang semakin bertambah. Sejumlah sumbangan itu juga diperuntuk bagi membaik pulih bangunan lama dan membeli perabot baharu.

Tanpa dijangka, penjaja ‘mi loh’ yang pertama menyumbang – apabila dia menderma keseluruhan pendapatannya sehari sebanyak RM10,000. Seorang penjual mi Hokkien turut mengikuti apabila menderma jumlah sama.

Kempen berkenan hampir mencapai sasaran RM4.5 juta dalam tempoh hampir 18 bulan, dengan kantin dibina baru selain bangunan empat tingkat menempatkan 12 kelas selesai dalam tempoh 10 bulan, membabitkan sekitar RM3 juta.

Lim berkata, jumlah wang didermakan dan penderma terdiri daripada pelbagai latar belakang, menjadi bukti komitmen masyarakat Cina terhadap pendidikan. “Mereka sanggup menyerahkan wang walaupun berada dalam kepayahan,” katanya.

Beliau berkata, pengorbanan seumpama itu sekali gus menepis dakwaan sekolah Cina bergantung kepada industri alkohol bagi pendanaan, sedangkan dari sejarahnya kebanyakan bergantung kepada sumbangan orang ramai.

Sim Choo Kheng
Pengendali taman tema, Sim Choo Kheng (tengah) di SJKC Sin Kang school di Air Itam. Dia menderma RM200,000 bagi sumbangan komputer tablet bagi menggantikan buku teks. Di sebelah kanan adalah Guru Besar Lian Poh Lai (kiri) dan pegawai pendidikan Pulau Pinang, Fazzlijan Adnan Khan.

“Sumbangan derma sebenar datang daripada orang awam, bukan sahaja syarikat besar,” katanya. Lim menambah, syarikat arak tidak memberi ‘satu sen pun’ kepada sekolah, namun sekadar membiayai penghibur pada majlis makan malam mengumpul dana kepada sekolah yang tidak dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Lim berkata, RM200,000 setahun diperlukan bagi menanggung kos sekolah itu, di mana ia hampir sepenuhnya didanai menerusi sumbangan.

Mengapa sekolah Cina cari dana

Pengumpulan dana bagi sekolah Cina dibuat susulan dana disediakan kerajaan tidak mencukupi. Pada Belanjawan 2022, hanya RM120 juta diperuntuk kepada sekolah vernakular Cina dan Tamil. Sumbangan orang ramai diperlukan bagi menanggung kos operasi dan projek pembangunan.

Kumpulan masyarakat Cina, seperti Dong Zong dan Jiao Zong, memainkan peranan penting menganjur dan mengelola aktiviti mengumpul derma. Kumpulan tersebut bekerjasama rapat dengan ahli lembaga sekolah dan PIBG.

Walaupun berdepan kekangan, sekolah Cina membina reputasi standard pendidikan yang tinggi dan kemudahan diselenggara baik, menjadikannya penarik kepada ibu bapa pelbagai etnik. Laporan kerajaan baru-baru ini menunjukkan sekurang-kurangnya 20% murid di sekolah itu bukan dari kalangan etnik Cina.

Kerajaan Pulau Pinang memperuntuk RM9 juta kepada sekolah Cina, Tamil, dan mubaligh. Daripada jumlah itu, RM4.55 juta diagih kepada SJKC tahun ini, lapor Buletin Mutiara.

Pada Februari, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengumumkan 63 sekolah Cina persendirian di seluruh negara akan menerima peruntukan RM18.9 juta tahun ini, melibatkan RM300,000 setiap sekolah. Tahun lalu, sekolah tersebut menerima RM230,000 setiap satu.

Derma jadi budaya, kata ahli perniagaan

Sim Choo Kheng, pengendali taman tema, berkata masyarakat Cina pemurah menderma kepada sekolah dalam usaha memastikan kemakmuran berpanjangan dan keharmonian kepada generasi akan datang.

“Derma kepada sekolah ini tidak asing bagi orang Cina. Apabila buat seperti itu, mereka cipta kekayaan dan salur kepada generasi masa depan. Ia amalan Taoistik. Kami beri apa termampu untuk kesejahteraan keluarga kami dan masyarakat.”

Baru-baru ini, Sim menderma komputer tablet bernilai RM200,000 kepada Sekolah Rendah Sin Kang di Air Itam, yang pernah dia menimba ilmu, di mana katanya secara signifikan menambah baik proses pembelajaran murid tahun satu.

Sim Choo Kheng
Sim Choo Kheng.

“Saya harap ini menjadi contoh kepada pihak lain untuk membuat perkara sama. Saya mahu pelajar kita mendapat akses teknologi yang boleh diterjemah kepada pengalaman belajar lebih baik,” katanya.

Katanya, dia merancang membina kolam renang bagi sekolah itu dengan sasaran mengumpul dana RM3 juta. Sehingga kini, dana sumbangan telah mencapai RM2 juta.

Sim juga merancang memulakan sembilan hari ‘funfair’ secara tahunan bertujuan mengumpul derma sekurang-kurangnya RM250,000 bagi pengoperasi sekolah, meliputi perbelanjaan naik taraf komputer, penghawa dingin, dan kolam renang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.