Kes pencatutan terkawal selepas penyasaran subsidi diesel, kata menteri

Kes pencatutan terkawal selepas penyasaran subsidi diesel, kata menteri

Menteri Armizan Mohd Ali berkata penyasaran subsidi diesel sejak dua bulan lalu membuktikan tahap pematuhan sebahagian besar peniaga adalah baik.

Penguat kuasa KPDN giat menjalankan pemantauan untuk mengesan kes pencatutan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi bersasar. (Gambar KPDN)
PETALING JAYA:
Jumlah kes pencatutan kecil dan terkawal selepas penyasaran subsidi diesel berkuat kuasa 10 Jun lalu, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata penyasaran subsidi diesel sejak dua bulan lalu membuktikan tahap pematuhan sebahagian besar peniaga adalah baik.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menghargai komitmen komuniti perniagaan yang secara keseluruhannya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan pasca penyasaran subsidi diesel.

Armizan Mohd Ali.

“Pada masa sama, KPDN akan terus memperkasa pemantauan di semua peringkat melalui Ops Kesan 2.0 dan maklum balas awam amat dialu-alukan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya KPDN menerima 83 aduan kenaikan harga barang dan perkhidmatan susulan penyasaran subsidi diesel, dengan 10 kertas siasatan dibuka daripada 244 notis bertulis dikeluarkan Bahagian Penguatkuasa KPDN di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Kertas siasatan itu akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya.”

Katanya KPDN memeriksa 24,666 premis perniagaan di seluruh negara menerusi Ops Kesan 2.0 yang dilaksanakan sejak 8 Jun lalu, dua hari sebelum penyasaran subsidi diesel bermula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.