
Sebaliknya bekas exco Melaka yang pernah menganggotai PKR sebelum menyertai Umno pada 2021, mempertahankan tindakan itu dengan mengalihkan kepada isu kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
“Orang persoal kenapa sekarang (selepas setahun) baru saya beritahu sertai PAS, ia tak perlu dipersoal.
“Kamu patut tanya mengapa Zahid Hamidi (presiden Umno) bincang bertahun-tahun dengan Anwar Ibrahim (presiden PKR) untuk kerjasama dan akhirnya hari ini terbukti (tertubuhnya kerajaan perpaduan pasca PRU15),” katanya kepada FMT.
Beliau ditemui ketika kempen calon PAS Mohd Rizwadi Ismail di PRK Nenggiri yang akan berlangsung 17 Ogos ini.
Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Ahmad Maslan mempersoal pengumuman Jailani menyertai PAS selepas setahun sambil menyifatkan ia sebagai cubaan mengaburi orang ramai untuk menghalalkan tindakannya melompat parti.
Bulan lalu, PAS mengumumkan Jailani diterima sebagai ahli parti itu pada Jun 2023 yang menimbulkan persoalan kerana setakat 9 Sept tahun lalu media melaporkan Jailani sebagai ahli Umno, apabila lembaga disiplin parti mengesyorkan beliau digantung keahlian.
Timbalan Exco Melaka Khaidhirah Abu Zahar pula mendedahkan Jailani turut dianggap dalam blok kerajaan pada sidang DUN Melaka, Julai lalu.
Jailani turut mempersoalkan mengapa Zahid tidak didakwa melanggar perjanjian seperti dirinya kerana beliau berjanji tidak akan menjalinkan kerjasama dengan DAP dan Anwar pada Perhimpunan Agung Umno 2021, selain Bersatu iaitu rakan sekutu PAS.
“Kalau kata saya langgar dan mungkir janji…pemimpin mereka (Zahid) pun khianat,” katanya merujuk kerjasama BN-PH menerusi pembentukan kerajaan perpaduan,” katanya.
Sabtu lalu, Zahid mengesahkan Umno menyerahkan surat tuntutan kepada Jailani bagi menuntut ganti rugi serta pampasan RM100 juta kerana menyertai PAS.