Amanah mahu dibawa berunding kerana tiada ‘perpaduan’ di Johor, kata penganalisis

Amanah mahu dibawa berunding kerana tiada ‘perpaduan’ di Johor, kata penganalisis

Mazlan Ali berkata kelakuan Pemuda Amanah berlatarkan situasi politik di Johor yang menyaksikan BN menguasai pentadbiran kerajaan.

Penganalisis percaya Amanah tidak memusuhi Umno di sebalik berbalas kenyataan mengenai DUN Mahkota. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kelakuan Pemuda Amanah berhubung DUN Mahkota yang diisytiharkan kosong baru-baru ini adalah untuk memastikan parti itu dibawa berunding, menurut penganalisis politik.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata tuntutan oleh Pemuda Amanah itu berlatarkan situasi politik di Johor, yang menyaksikan Barisan Nasional menguasai pentadbiran kerajaan.

Semalam, Exco Pemuda Amanah Fadhli Umar Aminolhuda berkata kerajaan Johor tidak dibina sebagai kerajaan perpaduan, dengan PH dinafikan peranan dalam pembentukan ahli majlis dan ketua kampung.

“Di Johor tidak ada kerjasama, tiada kerajaan perpaduan… bila berlaku tuntutan itu akan dibawa perundingan peringkat kerajaan perpaduan,” katanya kepada FMT.

Lebih-lebih lagi katanya Amanah ‘parti kecil’ di Johor dengan satu kerusi berbanding parti lain. “Mereka tiada kerusi untuk bertanding.”

Mazlan juga percaya kedua-dua parti itu tidak bermusuh walaupun pemimpin Pemuda Amanah dan Umno Johor berbalas kenyataan. “Mereka letakkan minat untuk kerusi itu tetapi akhirnya akan diputuskan masa perundingan.”

Dalam pada itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berpandangan kelebihan berpihak kepada BN di DUN Mahkota berdasarkan simpati penduduk setempat kepada penyandang, Sharifah Azizah Syed Zain, yang dikatakan banyak menyumbang.

“Ini acah-acah Amanah kerana mereka tahu yang putuskan adalah perbincangan presiden parti. Tentulah nak cuba cari kesempatan atau peluang, jika tidak dianggap sebagai tidak mencuba,” katanya.

Awang Azman bagaimanapun memberi amaran kerajaan perpaduan akan rugi sekiranya Amanah kelihatan tamak, kerana ia boleh merosakkan hubungan di DUN itu sendiri, negeri, dan nasional.

“Apa-apa masalah perlu diselesaikan melalui saluran dalaman bukannya terbuka membuat sidang media,” katanya.

“Formula PRK Simpang Jeram dan Pulai perlu digunakan dan ditambah baik untuk mengekalkan peluang kemenangan di Mahkota.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.