PM mahu bawa rakyat Palestin cedera dirawat di Malaysia

PM mahu bawa rakyat Palestin cedera dirawat di Malaysia

Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memperuntukan dana bagi menyediakan kemudahan perubatan dan membawa mangsa yang cedera ke negara ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau menghubungi beberapa pemimpin negara Islam untuk terus berikan kerjasama dan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
BUKIT JALIL:
Kerajaan akan membantu rakyat Palestin yang cedera akibat kekejaman tentera Israel termasuk menyediakan kemudahan perubatan dan membawa mangsa ke negara ini untuk menerima rawatan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, untuk tujuan itu kerajaan memperuntukkan dana untuk membawa rakyat Palestin yang cedera atau merawat mereka di sana.

“InsyaAllah kita akan lakukan sedaya upaya. Kita akan bantu yang sakit sama ada dirawat di sana (Palestin) atau bawa ke mari untuk beri rawatan.

“Kita akan teruskan tanpa tolak ansur, kerajaan akan peruntukan dana,” katanya ketika berucap di Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, malam tadi.

Anwar berkata, beliau juga menghubungi Presiden Turki Reccep Tayyip Erdogan dan Raja Bahrain Sheikh Hamad Isa Al Khalifa serta Putera Mahkota Arab Saudi Mohamad Salman untuk terus berikan kerjasama dan bantuan kemanusiaan di Palestin.

Anwar dalam ucapannya juga turut mengakui keberaniannya bersuara di pentas dunia mengangkat hak kemanusiaan rakyat Palestin adalah atas sokongan rakyat tanpa berbelah bahagi kepadanya.

“Siapa kata saya berani sangat, saya hanya mewakili semua jalankan tanggungjawab.

“Tapi saya juga manusia, saya tak mahu rakyat dizalimi saya tak mahu rakyat Palestin jadi hamba abdi, saya bangkit bersama saudara, bangkit perjuangkan hak Palestin,” katanya.

Kira-kira 10,000 peserta menghadiri himpunan itu yang turut dihadiri anggota Jemaah Menteri dengan antara yang menyampaikan pidato termasuklah Menteri Sumber Manusia Steven Sim dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ramanan Ramakrishnan.

Himpunan Pembebasan Palestin itu adalah bagi menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh, sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis di Palestin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.