
Menurut ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Ahmad Maslan, DUN Nenggiri hanya mempunyai 35 orang pengundi Cina.
“Kalau kita berkempen, ada segmen Umno (cara kempen) begini, PKR begini, DAP begini … dan DAP (untuk) kawasan Cina, (sedangkan) Cina tak berapa ada sini (Nenggiri).
“Bukan kami larang (DAP berkempen), tetapi keperluan itu keutamaannya rendahlah, (ikut) logik politik,” katanya ketika ditemui di Bertam Lama, Gua Musang, hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad masih mengalu-alukan DAP mahupun MCA turun berkempen bagi PRK Nenggiri, yang akan diadakan pada 17 Ogos.
“Kalau mereka nak datang, silakan, tapi saya nak sebut itu sahaja, bukan satu kemestian untuk rakan komponen datang bantu calon BN di Nenggiri,” katanya.
Sebelum ini, DAP berkata, pihaknya bersedia membantu kempen BN sekiranya terdapat permintaan daripada mana-mana parti gabungan kerajaan perpaduan.
Dilaporkan bulan lepas Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata, tiada keperluan DAP berkempen pada PRK Nenggiri.
Bagaimanapun, beliau kemudian menafikan meminta DAP tidak turun atau menjauhi kempen di Nenggiri.
“Saya kata, untuk apa pemimpin DAP di sini? Kebanyakan mereka bukan Melayu dan ini (Nenggiri) adalah kawasan 100% Melayu. Jadi, itulah sebabnya. Ia berhenti di situ,” katanya kepada FMT.