
Bekas timbalan ketua Pemuda PAS Gua Musang itu berkata, tiada istilah pilih kasih dalam kamusnya ketika memberi perkhidmatan kepada rakyat.
“Saya akan layan sama rata, tidak kira parti mana, Umno ke Pakatan Harapan ke. Kita PN untuk semua, kita tiada musuh dengan mana-mana parti.
“Bila sudah menang, kita wakil rakyat kepada semua rakyat di Nenggiri, bukan wakil rakyat untuk orang PAS, Bersatu atau PN saja,” katanya kepada FMT.
Beliau juga yakin tindakan bekas wakil rakyat Bersatu berpaling tadah tidak akan menjejaskan sokongan pengundi Nenggiri yang masih setia bersama PN.
Sementara itu, Rizwadi berkata, beliau tidak kekok menjadi calon PN daripada Bersatu yang bertanding menggunakan lambang PAS kerana matlamat semua parti dalam gabungan itu sama.
“Tiada perbezaan perjuangan Bersatu dan PAS sebab kita semua PN,” katanya sambil menyifatkan hubungannya dengan calon Barisan Nasional, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani baik dan mereka hanya bertembung di pentas politik.
Mengenai kelebihannya berbanding calon BN, Rizwadi berkata, beliau mampu menggalas tanggungjawab dan amanah diberikan.
“Saya orang muda, tentu sekali saya boleh buat kerja. Saya juga akan fokus kepada kerja kebajikan kerana saya biasa dengan kerja kebajikan. Ketika saya dalam jentera Pemuda PAS pun, saya sudah biasa dengan masyarakat sejak saya berada di dalam halaqat (dakwah).”