
Sehubungan itu, ketuanya, Noraini Ahmad menyeru agar semua pihak menahan diri daripada membincangkan perkara itu.
“Wanita Umno berpendirian lebih sesuai untuk menahan diri dari membincangkan isu berkaitan kerusi DUN Mahkota.
“Biarlah isu berkenaan dibincangkan melalui Majlis Kerja Tertinggi Umno dan pihak pengurusan tertinggi parti,” katanya dalam kenyataan.
Noraini turut menggesa semua pihak agar mengambil pendekatan yang sensitif serta memberi ruang kepada mereka yang sedang berduka atas pemergian Adun Mahkota Sharifah Azizah Syed Zain.
Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian Sharifah Azizah, 63, akibat pendarahan dalaman di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom pada Jumaat lepas.
Beliau memenangi kerusi itu pada PRN 2022 dengan 16,611 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan calon Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan Warisan.
Susulan kekosongan luar jangka itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas pada 13 Ogos bagi membincangkan pelaksanaan PRK.
Perselisihan antara pemimpin negeri kedua-dua parti tercetus apabila Amanah Kluang menuntut bertanding di DUN Mahkota. Membidas tindakan tersebut, Pemuda Umno Johor kemudian menggesa agar tuntutan kerusi dibincangkan.