Uji minda sambil teroka sejarah pada Eksplorasi Merdeka Rapid KL 3.0

Uji minda sambil teroka sejarah pada Eksplorasi Merdeka Rapid KL 3.0

Rapid KL akan menganjurkan siri ketiga acara itu pada 24 Ogos depan, bermula di Dataran Muzium Negara.

Menerusi Eksplorasi Merdeka 3.0, Rapid KL mengetengahkan kegiatan sukan dan budaya di sepanjang jajaran rel dan basnya.
PETALING JAYA:
Eksplorasi Merdeka Rapid KL kembali dengan siri ketiganya yang akan berlangsung pada 24 Ogos depan, bermula di Dataran Muzium Negara.

Orang ramai boleh menyertainya secara berkumpulan untuk menyelesaikan tugasan yang terdiri daripada pelbagai teka-teki dan uji minda, dengan hadiah wang tunai sehingga RM15,000 dijanjikan bagi pemenang tempat pertama, kedua, ketiga dan saguhati.

Rapid KL berkata, selain mengimbau sejarah kemerdekaan negara, acara ini turut mengetengahkan kegiatan sukan dan budaya di sepanjang jajaran rel dan basnya.

Menerusi acara itu, katanya, peserta akan berpeluang meneroka sejarah dan mempelajari budaya melalui pameran, kuiz, dan pelbagai aktiviti interaktif, termasuk cabutan bertuah.

“Pada tahun ini, Dataran Muzium Negara dipilih sebagai lokasi pelepasan peserta bertujuan mempromosikan mercu tanda Kuala Lumpur kepada generasi muda.

“Banyak lokasi bersejarah dan menarik di pusat bandar yang boleh diakses menerusi pengangkutan awam,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, menurut Rapid KL, Eksplorasi Merdeka 3.0 menjanjikan kelainan kepada peserta kerana mereka juga akan menyaksikan Rapid KL meraikan ulang tahun ke-20.

“Rapid KL akan membawa peserta mengimbau kembali sejarah kemerdekaan negara, dengan diselitkan imbasan Rapid KL sejak awal pembukaannya yang juga menjadi tulang belakang utama dalam menggerakkan pertumbuhan ekonomi dan sosial khususnya di Kuala Lumpur.

“Pelbagai evolusi telah dilaksanakan Rapid KL sepanjang dua dekad dalam mentransformasikan pengangkutan awam di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.

Orang ramai yang berminat menyertai acara ini boleh mengunjungi laman sesawang bagi mendapatkan maklumat lanjut dan borang pendaftaran.

“Rapid KL menyarankan agar peserta yang berminat untuk segera mendaftar kerana tempat adalah terhad,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.