KPDN perbanyak sesi libat urus, tingkat penerima subsidi diesel

KPDN perbanyak sesi libat urus, tingkat penerima subsidi diesel

Fuziah Salleh berkata jumlah pendaftaran subsidi diesel bagi kumpulan layak masih belum memuaskan.

diesel
Kerajaan memperkenalkan SKDS untuk mengurangkan beban pengusaha sektor pengangkutan awam darat dan barangan dengan penerima kad fleet boleh membeli diesel di bawah harga runcit.
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan meningkatkan sesi libat urus untuk meningkatkan jumlah pendaftaran Budi Madani bagi bantuan subsidi diesel yang masih belum kadar memuaskan.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata menerusi permohonan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, setakat ini 259,141 daripada 410,000 kenderaan layak telah memohon.

Menurutnya, kos operasi mereka ini meningkat kerana terpaksa membayar RM3.35 seliter diesel walaupun mereka layak mendapat bantuan diesel RM2.15 seliter menerusi SKDS.

Fuziah berkata bagi kenderaan lori pikap untuk Budi Madani pula, sebanyak 100,000 pemilik mendaftar daripada 300,000 kenderaan yang layak.

Fuziah Salleh.

“Bagi memastikan mereka layak mendapat harga subsidi diesel, KPDN akan mengadakan lebih banyak sesi libat urus seperti yang dilakukan hari ini,” katanya menurut Sinar Harian selepas sesi libat urus di Kuantan.

Fuziah memaklumkan kesibukan urusan seharian antara punca orang ramai tidak membuat pendaftaran bagi mendapatkan subsidi diesel, selain sukar mendaftar secara dalam talian.

Mengulas peniaga menggunakan kenderaan didaftar atas nama individu lain, Fuziah menjelaskan peniaga itu masih boleh menikmati SKDS 2.0 dengan syarat penama asal kenderaan itu membuat permohonan.

“Penama pada geran kenderaan itu kena memohon bagi pihak peniaga, tidak ada masalah dan mereka juga boleh dapat ‘fleet card’ dan SKDS 2.0,” katanya.

SKDS antara inisiatif diperkenalkan kerajaan untuk mengurangkan beban pengusaha sektor pengangkutan awam darat dan barangan dengan penerima kad fleet boleh membeli diesel di bawah harga runcit.

Mulai 10 Jun lalu, kerajaan mengapungkan harga bahan api itu pada kadar RM3.35 seliter di Semenanjung Malaysia menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang mampu menjimatkan RM4 bilion setahun.

Selain SKDS, kerajaan juga melaksanakan inisiatif Budi Madani yang menyalurkan RM200 sebulan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian, petani dan pekebun kecil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.