
Justeru, Mohd Soffi Abd Razak mencadangkan kajian menyeluruh dijalankan terhadap potensi tanaman itu kerana ketika ini ia banyak digunakan di Eropah sebagai ubat.

“Nampak pada umumnya negatif, tapi kalau dimanfaatkan ia akan menjadi satu komoditi atau produk yang boleh menjana ekonomi.
“Kalau kita lihat banyak mudarat dalam negara, kita proses dan eksport. Jangan jual ketum mentah sebaliknya kita proses jadikan produk…(eksport) ke negara maju yang dia tahu dia boleh kawal penggunaan,” kata exco pertanian, industri asas tani, bioteknologi dan pendidikan kepada FMT.
Bagaimanapun, Soffi yang juga Adun Benta berkata garis panduan perlu diwujudkan bagi mengelakkan penyalahgunaan dan ketum ditanam sewenang-wenang tanpa pengawasan.
“Kita buat kajian dan patenkan ia, Kementerian Perladangan dan Komoditi patut buat tanaman besar-besaran dengan melihat tanah terbiar boleh kita tanam ketum,” katanya.
Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan dalam mesyuarat Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani bersama exco pertanian negeri-negeri di Putrajaya, Khamis lalu.
Pada 13 April lalu, FMT melaporkan seorang penyelidik mencadangkan kerajaan membenarkan ketum dieksport ke luar negara bagi membolehkan tumbuhan itu dijadikan ubat sekali gus menjana pendapatan kepada petani luar bandar.
Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Darshan Singh, berkata melalui kebenaran itu petani luar bandar yang terkesan dengan harga komoditi tidak menentu akan mendapat manfaat hasil penjualan ketum.
Beliau turut menggesa stigma ketum adalah dadah perlu dibuang.
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada 25 Julai lalu berkata, penggunaan ketum perlu dikawal kerana penyalahgunaan bahan itu boleh memberi kesan stimulan, sedatif dan khayal menyebabkan ketagihan yang boleh membawa kepada penyalahgunaan bahan terlarang lain seperti dadah.
Katanya, perkara itu disokong dengan data dan kajian dijalankan pihaknya bersama dua universiti melibatkan kajian penyalahgunaan daun ketum serta kesan sosioekonomi dan persekitaran ke atas penanaman ketum.
Menurut AADK, walaupun dari satu sudut ketum mempunyai nilai perubatan, wujud kebimbangan mengenai kemudaratannya yang boleh mengakibatkan penyalahgunaan.