Beza pendapat PAS, Gerakan tak retak hubungan dalam PN, kata Sanusi

Beza pendapat PAS, Gerakan tak retak hubungan dalam PN, kata Sanusi

Pengarah pilihan raya PN Sanusi Noor berkata pemimpin PAS dan Gerakan tetap akan duduk bersama dalam membawa agenda lebih besar.

Sanusi Nor berkata setiap isu dalaman yang timbul membabitkan parti komponen Perikatan Nasional akan diselesaikan secara dalaman.
GUA MUSANG:
Perbezaan pendapat antara PAS dan Gerakan berhubung isu sumbangan syarikat arak kepada sekolah Cina tidak menyebabkan hubungan dalam Perikatan Nasional (PN) retak, kata Sanusi Nor.

Sanusi yang juga ketua pengarah pilihan raya PN berkata, apabila berlaku percanggahan pendapat atau pandangan dalam satu-satu isu, pemimpin PAS dan Gerakan tetap akan duduk bersama dalam membawa agenda lebih besar.

“Gerakan asas dia pengundi Cina, bila ada isu Cina dia (Gerakan) ke depan, asas kita (PAS) Melayu, jadi isu berkaitan Melayu Islam kita bercakap tapi tak sampai menjadi retak hubungan dalam PN.

“Semalam pemimpin utama Gerakan turun bantu kempen. Kita hal dalaman kita bincang dalaman,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri proses ramah mesra bersama pengundi di Renok Baru.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PAS dan Gerakan saling berbalas kenyataan berhubung isu pemberian sumbangan syarikat arak kepada sekolah Cina sehingga pemimpin Gerakan mengugut mahu keluar dari gabungan pembangkang itu.

Sanusi berkata perpaduan dalam PN berbeza jika dibandingkan dengan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) apabila tiada pemimpin dalam kerajaan perpaduan terutamanya DAP, PKR turun memberi sokongan kepada Umno pada hari penamaan calon semalam.

“Mereka (BN-PH) sedang berantakan, berebut kerusi, PRU16 jauh lagi tapi sudah tunjuk nak berebut kerusi jadi berantakan mereka ini. Di negeri lain sama berlaku keberantakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.