Faisal Halim tampil jadi pemain simpanan menentang Terengganu FC

Faisal Halim tampil jadi pemain simpanan menentang Terengganu FC

Pemain sayap Selangor FC itu berpeluang membuat kemunculan dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang Terengganu FC.

Faisal Halim
Faisal Halim yang masih dalam proses pemulihan susulan menjadi mangsa simbahan asid disenaraikan sebagai pemain simpanan dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang Terengganu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemain sayap Selangor FC Faisal Halim disenaraikan di bangku simpanan pada separuh akhir kedua Piala FA 2024/2025 di sini malam ini.

Faisal yang masih dalam proses pemulihan susulan menjadi mangsa simbahan asid turut dilihat bersama rakan pasukan ketika sesi panas badan sebelum perlawanan itu.

Selangor dijadual menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2024/2025 selepas tewas 2-3 dalam aksi pertama.

Sejurus memasuki padang bersama pasukan, tonggak utama skuad Harimau Malaya berusia 26 tahun itu bersujud di tepi padang sambil menerima sorakan dan tepukan gemuruh ribuan penonton yang membanjiri Stadium MBPJ.

Faisal yang lebih mesra disapa Mickey turut kelihatan memakai topeng muka berwarna hitam dipercayai bagi melindungi bekas luka simbahan asid yang dalam proses untuk sembuh.

Pemain yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar Januari lepas itu berada dalam senarai pemain simpanan, sekali gus berpeluang membuat penampilan pertama selepas insiden disimbah asid oleh individu tidak dikenali, Mei lepas.

Susulan insiden di sebuah pusat beli-belah di sini itu, beliau mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa anggota badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi selama kira-kira 10 hari.

Sementara itu, Selangor FC terus menyalakan harapan merangkul kejuaraan sulung dalam tempoh sembilan tahun selepas mengesahkan tempat di final Piala FA 2024/2025 dengan kemenangan 4-1 ke atas Terengganu FC pada aksi separuh akhir kedua tadi.

Kapten Selangor Muhammad Safuwan Baharudin muncul wira pasukan dengan jaringan hatriknya untuk memastikan Gergasi Merah menyingkirkan Terengganu menerusi agregat 6-4.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.