Rakyat dinasihat tangguh perjalanan tak penting ke Dhaka

Rakyat dinasihat tangguh perjalanan tak penting ke Dhaka

Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia mendaftarkan lokasi mereka di Bangladesh dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka.

Peguam melaungkan slogan dalam protes di Dhaka Rabu lalu bagi menuntut keadilan buat mangsa korban dalam pertempuran maut di seluruh Bangladesh bulan lalu. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan sementara perjalanan tidak penting ke Dhaka berikutan situasi yang masih tidak dapat diramalkan.

Kementerian Luar berkata, pihaknya mengambil maklum ada warga Malaysia berhasrat kembali ke Bangladesh.

Rakyat Malaysia juga dinasihat mendaftarkan lokasi mereka di Bangladesh dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka.

Begitu juga dengan pelajar Malaysia yang ingin kembali ke Bangladesh untuk meneruskan pengajian dinasihatkan mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia sejurus tiba di sana.

“Rakyat Malaysia di Bangladesh hendaklah sentiasa berwaspada dan mengelak berada di kawasan berdekatan dengan apa jua perhimpunan dan kawasan konflik.

“Langkah berjaga-jaga harus diambil selaras dengan arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sentiasa komited memastikan kebajikan dan keselamatan semua rakyat Malaysia di Bangladesh sambil memantau situasi secara berterusan.

Memetik anggaran tidak rasmi, satu laporan berita menyatakan lebih 200 orang terkorban sejak 16 Julai lalu.

Pertempuran bermula 15 Julai lalu antara polis dan penunjuk perasaan pelajar yang menuntut penghapusan kuota 30% pekerjaan sektor awam kepada keturunan veteran perang kemerdekaan 1971.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka:

Alamat: House No 19, Road No 6,
Baridhara Diplomatic Enclave,
Dhaka – 1212
People’s Republic of Bangladesh

Nombor telefon: +880241081892 / 1895
+88 018 4179 8077 (untuk kecemasan sahaja)

E-mel: [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.