
Ketua Polis Seberang Perai Utara, Anuar Abd Rahman, berkata penahanan dua suspek semalam dibuat selepas pihaknya menerima dua laporan berkait kejadian, masing-masing pada 29 dan 30 Julai.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku di kawasan letak kenderaan Pasaraya Sunshine.
“Punca kejadian disebabkan perasaan tidak berpuas hati dengan perebutan tempat parkir,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu gaduh gempar, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, iaitu berkelakuan kurang sopan di tempat awam.
Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian mewujudkan apa-apa komen dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, atau mengugut atau mengganggu orang lain.
Anuar turut menasihatkan orang ramai menjaga ketenteraman awam dan menyeru pihak mempunyai maklumat mengenai kes itu berhubung dengan Pegawai Penyiasat Nursyahirah Sarahani di talian 04 5762222, atau balai polis berdekatan.
Dalam klip video berdurasi 65 saat, seorang wanita dilihat mengambil gambar nombor plat kenderaan individu yang dipercayai merakam tingkah lakunya, sambil menuduh ‘mencuri’ tempat parkir.
‘Perang mulut’ wanita terbabit berlarutan apabila saling menjerit antara satu sama lain, sebelum seorang daripadanya masuk ke dalam kereta, lalu meninggalkan lokasi kejadian.