
Syahredzan Johan berkata, rakyat Malaysia mengalami kerugian lebih RM1 bilion tahun lepas akibat penipuan dalam talian, manakala negara menduduki tempat kedua di Asia dalam buli siber membabitkan golongan belia, dengan sekurang-kurangnya 10 insiden dilaporkan setiap hari.
“Masalah ini ditambah lagi dengan kelemahan usaha platform media sosial menyederhanakan dan mengawal kandungan yang diterbitkan (di platformnya)
“Mereka tidak cukup berusaha memikul tanggungjawab atas mudarat yang tersebar di platform mereka,” kata Ahli Parlimen Bangi itu kepada FMT.
Seruan agar platform media sosial dikawal selia semakin lantang berikutan kematian pempengaruh TikTok A Rajeswary, juga dikenali sebagai Esha, didakwa akibat dibuli di alam siber.
Minggu lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan, perkhidmatan media sosial dan pemesejan Internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia mesti memohon lesen bermula 1 Ogos, dengan penguatkuasaan bermula pada 1 Jan tahun depan.
Dasar baharu itu bertujuan mewujudkan persekitaran Internet lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga, kata SKMM.
Mengakui proses itu mungkin disalah guna, Syahredzan berkata, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menyediakan mekanisme semakan dan rayuan sebagai perlindungan. Mekanisme ini akan diperjelas apabila lesen dipohon, katanya.
Syahredzan juga berkata, sekiranya idea melesenkan platform media sosial ditolak begitu sahaja tanpa usaha memahami keperluannya, ia ‘tidak adil’ dan merupakan ‘pengabaian kewajipan bersama kita sebagai masyarakat untuk melindungi golongan rentan’.
Katanya, bukan hanya Malaysia yang mempertanggungjawabkan platform media sosial ke atas kandungannya, malah United Kingdom turut menggubal Akta Keselamatan Dalam Talian yang mewajibkan platform sedemikian melindungi kanak-kanak daripada kandungan yang memudaratkan.
Menjawab dakwaan peguam merangkap aktivis Ambiga Sreenevasan bahawa kerajaan perpaduan bersikap ‘paling diktator’ kerana mengekalkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan kini mahu melesenkan platform media sosial, Syahredzan berkata, tuduhan sedemikian ‘berlebih-lebihan’.
Katanya, dakwaan sedemikian menutup keburukan seperti ‘Ops Lalang’, tindakan keras besar-besaran pada 1980an yang menyaksikan penahanan ramai aktivis dan ahli politik pembangkang, termasuk Lim Kit Siang daripada DAP, dan penggantungan beberapa akhbar.
“Terdapat seluruh generasi muda yang tidak melalui tempoh traumatik itu,” kata Syahredzan.
Beliau berkata, komen sedemikian akan memberi gambaran ‘insiden paling tidak demokratik dan menindas yang berlaku dalam sejarah kita’ ialah keputusan melesenkan pemilik platform media sosial yang besar.