
Pada aksi separuh akhir di Porte de La Chapelle Arena pagi ini (petang di Malaysia), harapan rakyat Malaysia untuk melihat mereka mara ke final tidak kesampaian selepas Pearly-Thinaah tewas 12-21, 21-18, 15-21 dalam pertarungan sengit selama 78 minit.
Bagaimanapun, mereka masih berpeluang mencipta sejarah selaku pemenang pingat pertama Malaysia dalam acara itu apabila bertemu pasangan nombor lima dunia, Liu Sheng Shu-Tang Ning dari China atau Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun pada aksi penentuan pingat gangsa esok.
Qing Chen-Yi Fan, penyandang pingat perak Olimpik, memulakan aksi dominasi mereka sejak awal perlawanan untuk kemenangan selesa pada set pertama ke atas pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Dalam set kedua, Pearly-Thinaah yang berada di ranking ke-12 dunia meningkatkan intensiti untuk mengikat kedudukan 15-15, sebelum mencatatkan kemenangan 21-18 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Namun, Pearly-Thinaah yang terus memberikan cabaran sengit kepada Qing Chen-Yi Fan dengan sorakan padu penonton dalam set penentuan terpaksa menerima keputusan mengecewakan dalam aksi dramatik itu.
Ini kekalahan kedua Pearly-Thinaah kepada beregu China itu pada Olimpik kali ini selepas tewas 17-21, 20-22 dalam aksi pertama Kumpulan A Sabtu lepas.
Semalam, Pearly-Thinaah mencipta sejarah selaku beregu wanita pertama negara layak ke separuh akhir Olimpik selepas menyingkirkan pemenang pingat gangsa edisi lepas, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan 21-12, 21-13.
Pencapaian terbaik terdahulu adalah pasangan Vivian Hoo-Woon Khe Wei tewas kepada juara Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi di suku akhir edisi Rio 2016.
Pearly-Thinaah yang memulakan kempen peringkat kumpulan dengan kekalahan kepada Qing Chen-Yi Fan, bangkit mengubah nasib dengan mencipta kemenangan luar biasa mengatasi pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia untuk melepasi “kumpulan maut” itu.