Bersih nafi tak hadir taklimat SKMM berkait lesen media sosial

Bersih nafi tak hadir taklimat SKMM berkait lesen media sosial

NGO itu berkata ada wakil dihantar pada taklimat mewakilinya dan Centre for Independent Journalism.

Pengerusi Bersih Faisal Abdul Aziz mengulas dakwaan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bahawa NGO itu tidak hadir sesi libat urus SKMM terhadap pelesenan platform media sosial, semalam.
PETALING JAYA:
Bersih menafikan dakwaan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bahawa NGO itu tidak hadir sesi libat urus mengenai pelesenan platform media sosial dan perkhidmatan pesanan internet.

Pengerusinya, Faisal Abdul Aziz, berkata wakilnya ada menghadiri taklimat diadakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi pihak Bersih dan Centre for Independent Journalism (CIJ).

Katanya, CIJ dan pertubuhan masyarakat sivil lain mencadangkan agar SKMM mempertimbang memperkenal model alternatif mengawal selia media sosial dan bukannya menerusi lesen.

“Mereka juga mencadangkan perundingan lebih mendalam diadakan, terutama dengan pertubuhan masyarakat sivil dalam merumuskan kod tatakelakuan media sosial.

“CIJ turut mencadangkan dibentuk jawatankuasa dengan pertubuhan masyarakat sivil, pakar, dan wakil daripada platform media sosial untuk mengkaji kod tatakelakuan, justeru ia tidak menjadi pendekatan atas ke bawah apabila SKMM menggubalnya,” katanya di X.

Pada sidang media semalam, Fahmi berkata Bersih dan Muda dijemput dalam sesi libat urus tersebut oleh SKMM, namun tidak hadir.

Jurucakap kerajaan berkata, banyak komen diterima daripada mereka, namun apabila dijemput untuk memberikan pandangan, kelibat langsung tidak kelihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.