Tak siar perlawanan Zii Jia, Fahmi minta RTM beri penjelasan

Tak siar perlawanan Zii Jia, Fahmi minta RTM beri penjelasan

RTM didakwa tidak menyiarkan perlawanan Lee Zii Jia menentang pemain Sepanyol, Pablo Abian dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Sukan Olimpik semalam.

fahmi fadzil
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara itu tetapi akan meminta penjelasan dari RTM. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Radio Televisyen Malaysia (RTM) diminta memberi penjelasan berhubung dakwaan tiada siaran langsung aksi pemain profesional badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Sukan Olimpik Paris 2024 semalam.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata setakat ini beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

“…tapi kita akan minta penjelasan daripada pihak RTM nanti,” katanya pada sidang media.

Terdahulu, seorang pengguna laman Facebook meluahkan rasa tidak puas hati apabila RTM sebagai badan penyiaran nasional tidak menyiarkan aksi Zii Jia menentang pemain ke-62 dunia dari Sepanyol Pablo Abian.

Sebaliknya RTM menyiarkan perlawanan antara atlet Israel Misa Zilberman dan atlet Nepal Prince Dahal.

Untuk rekod, RTM merupakan penyiar rasmi temasya sukan berprestij Olimpik Paris selama 17 hari tanpa henti secara percuma.

Acara-acara Sukan Olimpik Paris boleh ditonton secara langsung menerusi saluran TV Okey dan Sukan TV RTM dan ‘live streaming’ Olimpik juga disiarkan melalui aplikasi RTM Klik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.