
Jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata, penggantungan AOC selama lima bulan itu tamat semalam kerana Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) tidak memperbaharui permit perkhidmatan udara (ASP) syarikat itu.
Menurut peraturan penerbangan Malaysia, CAAM hanya akan mengeluarkan AOC jika syarikat yang menyediakan perkhidmatan udara mempunyai ASP daripada Mavcom.
Jurucakap CAAM memberitahu FMT, dengan tamat tempoh AOC itu, SAS tidak boleh menggunakan keistimewaan yang diberikan permit ini. Mereka tidak boleh menyediakan sebarang perkhidmatan untuk upah dan ganjaran, yang sama seperti ketika mereka digantung.
Kini, SAS perlu membuat permohonan baharu untuk AOC hanya selepas Mavcom mengeluarkan ASP bagi operasinya.
Menurut sumber industri, proses ini akan mengambil sekurang-kurangnya tiga bulan kerana CAAM perlu mengaudit operasi syarikat itu.
CAAM pada mulanya menggantung AOC syarikat itu selama tiga bulan kerana Mavcom tidak memperbaharui ASP yang luput 29 Feb lalu.
Pengawal selia itu bertindak demikian susulan kegagalan SAS membayar gaji kakitangan, caruman KWSP serta potongan cukai mencecah jutaan ringgit.
Pada 12 Mac lalu, penggantungan itu dilanjutkan 90 hari, dengan Ketua CAAM Norazman Mahmud dilaporkan berkata SAS perlu berusaha memenuhi keperluan kawal selia dan mendapatkan kelulusan Mavcom untuk menyambung semula operasinya dengan selamat.
Katanya, sebagai pengawal selia teknikal industri penerbangan Malaysia, CAAM menyelia aspek teknikal pengendali udara untuk memastikan semua piawaian keselamatan dipenuhi.
Perniagaan dijalankan SAS terdiri daripada khidmat nasihat dan perundingan pakar penerbangan dalam pengangkutan udara, termasuk pemajakan atau sub-pajakan peralatan pesawat, alat ganti serta jentera berkaitan.
Syarikat itu turut menyediakan perkhidmatan helikopter dan pesawat.
FMT sudah menghubungi Mavcom dan SAS untuk mengulas perkembangan itu.