
Setiausaha Agung Urimai M Satees berkata beliau telah menulis surat kepada yang dipertua Dewan Negara yang meminta agar kelayakan Dr RA Lingeshwaran sebagai senator dilucutkan kerana berdaftar sebagai doktor di bawah Kementerian Kesihatan.
“Menurut daftar doktor Majlis Perubatan Malaysia, beliau masih seorang doktor di bawah Kementerian Kesihatan.
“Sijil amalan tahunan (APC) dikeluarkan untuk beliau bekerja di mana-mana fasiliti Kementerian Kesihatan pada 2024,” katanya pada sidang media.
Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Negara tidak dibenarkan memegang jawatan yang mengaut keuntungan. Ini meliputi mana-mana pejabat dalam mana-mana perkhidmatan awam.
Menjawab perkara itu, Lingeshwaran berkata beliau telah meninggalkan perkhidmatan awam sebagai pengarah Hospital Sungai Bakap pada 15 Mac 2023, dan Dewan Negara telah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.
Lingeshwaran juga berkata permohonannya untuk memperbaharui APC telah dikemukakan pada 2023, sebelum beliau meninggalkan jawatannya dalam perkhidmatan awam dan menjadi amalan biasa bagi sijil itu diperbaharui setahun lebih awal.
“Tidak perlu membuang masa. Yang dipertua Dewan Negara mengetahui penjelasan saya dan juga telah menjawab kepada Urimai mengenai perkara ini,” katanya kepada FMT.
“Saya tidak lagi menjadi pengamal perubatan sebaik meletak jawatan.”
Lingeshwaran, yang sedang menjalani penggal pertamanya sebagai senator, mengangkat sumpah jawatannya pada Mac 2023 dan akan kekal dalam jawatan itu sehingga Mac 2026.
Beliau dicalonkan oleh DUN Pulau Pinang.