Layak separuh akhir, Pearly-Thinaah ‘selangkah’ genggam pingat Olimpik

Layak separuh akhir, Pearly-Thinaah ‘selangkah’ genggam pingat Olimpik

Beregu wanita badminton negara Pearly Tan-M Thinaah menewaskan Kim So Yeong-Kong Hee Yong dalam aksi suku akhir hari ini.

Pearly Tan Muralitharan Thinaah
Pearly Tan-M Thinaah bakal berdepan beregu nombor satu dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dalam aksi separuh akhir. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah kini selangkah menggenggam pingat apabila layak ke separuh akhir badminton Olimpik Paris 2024 selepas menewaskan lawan dari Korea Selatan hari ini.

Mereka menewaskan Kim So Yeong-Kong Hee Yong, beregu nombor 10 dunia yang juga pemenang pingat gangsa pada Olimpik Tokyo 2021 dengan kiraan mata 21-12, 21-13.

Pearly-Thinaah yang berada pada kedudukan nombor 12 dunia mengambil masa 37 minit untuk mencapai kemenangan pada aksi di Porte De La Chapelle Arena.

Pasangan itu memulakan permainan memberangsangkan pada set pertama dengan mengambil kesempatan ke atas lawan mereka yang gementar dengan mendahului 7-0 dalam tempoh empat minit pertama permainan.

Selepas mendahului 11-5 pada waktu rehat, mereka meneruskan aksi cemerlang untuk memenangi set pertama dengan 21-11.

Pada set kedua, pasangan Korea Selatan itu cuba bangkit dan mendahului awal 2-0, tetapi Malaysia mengubah kedudukan dengan beberapa pukulan tepat dan smash untuk mendahului 11-8 sebelum rehat.

Kim dan Kong cuba memberikan cabaran selepas itu dan memaksa pasangan Malaysia bertungkus lumus yang bagaimanapun berjaya menidakkan lawan apabila menamatkan permainan dengan 21-13.

Kejayaan itu menyaksikan Pearly dan Thinaah menjadi pemain beregu wanita Malaysia layak ke separuh akhir Olimpik.

Pada aksi separuh akhir, mereka bakal bertemu beregu wanita nombor satu dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.