
Menterinya, Johari Ghani berkata, aspek pematuhan itu penting kerana sebarang ketidakpatuhan akan mengganggu kebolehpasaran produk agrikomoditi negara di peringkat antarabangsa.
“Kementerian akan pergi ke seluruh negara kerana isu tanah di setiap negeri berbeza, di Sabah lain, Kelantan lain, berbeza-beza peraturannya.
“Jadi mereka (negeri) meminta KPK untuk pergi buat jelajah dengan melibatkan pejabat tanah negeri untuk mereka faham,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat bersama exco pertanian negeri di Hotel Le Meridien, Putrajaya.
Tambahnya lagi, jelajah yang akan diadakan dalam masa terdekat itu juga akan melibatkan pemain industri, agensi kerajaan dan pejabat tanah supaya mereka faham mengenai kesan dan implikasi jika piawaian antarabangsa itu tidak dipatuhi.
“Kita akan buat secepat mungkin, pihak exco akan jadi penyelaras untuk cadangkan siapa nak jemput. Kita akan bentang apa itu EUDR, perubahan iklim, kemampanan kerana akhirnya negara akan dapat manfaat.
“Kerana apa sahaja pengeluaran kita, pada masa akan datang ada premium,” katanya.
Terdahulu Johari mengadakan pertemuan bersama 13 exco pertanian negeri bagi memberi maklumat mengenai kemampanan alam sekitar dalam proses penanaman sektor agrikomoditi.