Jagdeep jalani pemulihan, Chow sedia beri cuti lanjutan

Jagdeep jalani pemulihan, Chow sedia beri cuti lanjutan

Ketua menteri P Pinang itu berkata, pihaknya sedia membincangkan lanjutan buat Jagdeep yang bercuti sejak 22 Julai lepas hingga 5 Ogos ini.

chow jagdeep
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, beliau akan bertemu dengan ahli keluarga Jagdeep Singh Deo esok berhubung cuti timbalannya itu, yang akan berakhir selepas 5 Ogos nanti. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow sedia memberikan lanjutan cuti kepada Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo yang ketika ini dalam fasa pemulihan dan berada bawah perhatian doktor.

Chow berkata, pihaknya sedia membincangkan lanjutan buat Jagdeep yang bercuti sejak 22 Julai lepas hingga 5 Ogos ini agar beliau dapat menjalani rawatan sehingga benar-benar sembuh.

“Saya terima makluman dari semasa ke semasa daripada ahli keluarga Jagdeep, beliau dalam fasa pemulihan dan terus menerima perhatian doktor. Mengenai cuti yang akan berakhir selepas 5 Ogos nanti, saya akan bertemu dengan ahli keluarganya esok,” katanya pada sidang media di Komtar.

“Saya pun ada laporkan (situasi Jagdeep) kepada exco yang bermesyuarat semalam. Sekiranya lanjutan cuti diperlukan, saya harap surat lanjutan permohonan cuti dapat diterima supaya kita boleh beri kelulusan kepadanya sehingga satu tempoh yang dirasakan beliau boleh bertugas.”

Pada 22 Julai lepas, Bernama melaporkan Jagdeep mengesahkan beliau sedang bercuti kerana menjalani rawatan buku lali, menafikan dakwaan kononnya beliau diarahkan bercuti daripada menjalankan tugas pentadbiran negeri.

Jagdeep, 53, yang juga Adun Datuk Keramat, dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang sejak Ogos tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.