
Jurucakap kerajaan berkata, beliau tidak bersetuju dengan dakwaan bersifat hiperbola itu tanpa mengambil kira konteks sedia ada.
Katanya, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim sentiasa bersikap terbuka malah peserta perhimpunan di hadapan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun baru-baru ini tidak disambut dengan cota dan gas pemedih mata, malah diberi air serta roti.
“Beliau ada hak nyatakan pandangan tetapi saya lihat teguran pengerusi bersih sekarang dan beberapa individu lain mesti lihat dalam konteks sedia ada.
“Jadi saya tak setuju dengan pandangan beliau yang bersifat hiperbola,” katanya pada sidang media.
Baru-baru ini, media melaporkan Ambiga mendakwa pentadbiran kini disifatkan kerajaan paling diktator dalam sejarah pemerintahan negara kerana tidak memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984, sebaliknya memperkenalkan pelesenan baharu untuk media sosial.
Minggu lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengumumkan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini perlu memohon lesen kelas pemberian perkhidmatan aplikasi.
SKMM menjelaskan dasar baharu itu dibuat selaras keputusan Jemaah Menteri dalam usaha memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Kenyataan itu turut dibidas Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim daripada PKR yang menyifatkan Ambiga berlebihan dan tidak adil dalam membuat dakwaan terbabit.