Elak harga merudum, pekebun minta kawal import kubis bulat, cili merah

Elak harga merudum, pekebun minta kawal import kubis bulat, cili merah

Pertubuhan Pekebun-pekebun Sayur-sayuran Cameron Highlands juga meminta import halia tua, asparagus dan teratai dikawal.

Pertubuhan Pekebun-pekebun Sayur-sayuran Cameron Highlands berharap trend lambakan sayur import di pasaran menyebabkan harga sayur jatuh akan berakhir bulan ini.
PETALING JAYA:
Pertubuhan Pekebun-pekebun Sayur-sayuran Cameron Highlands menggesa kebenaran untuk mengimport sayur dihadkan kepada jenis sayuran yang pengeluarannya pada kadar tahap sara diri (SSL) kurang 50%.

Setiausahanya Chay Ee Mong berkata pihaknya bimbang pekebun tempatan akan terjejas jika semua jenis sayuran dibenarkan diimport termasuk 10 jenis sayuran mempunyai pengeluaran melebihi SSL 100%.

Menurutnya, ada lima jenis sayuran mencapai tahap SLL rendah iaitu kubis bulat (40%), cili merah (30%), halia tua (17%), asparagus (10%), dan teratai (kurang 10%).

“Sayur-sayur ini kalau tak cukup kita boleh import, tapi jangan bagi lambakan sehingga harga sayur tempatan jatuh teruk.

“Bila jatuh bawah dari harga kos, petani tak boleh ‘survive’… kalau terus rugi, tiada siapa lagi nak tanam sayur. Kerajaan patut jaga anak buah (petani), kita pengeluar makanan,” katanya kepada FMT.

Chay berkata tindakan membenarkan kemasukan 10 sayuran mempunyai pengeluaran SSL tinggi antaranya tomato (118%), timun (110%), daun bawang (105%) dan sawi (96%) hanya akan menyebabkan lambakan.

“Sayur cukup macam sawi, tomato, bagi masuk buat apa… kita sudah cukup pasal apa nak import, mestilah murah… bila murah petani kita tak boleh bertahan.”

Malah, dakwanya ada pekebun terpaksa membuang hasil tanaman kerana tidak mampu menanggung rugi jika dijual dengan harga murah kepada pemborong

“Contoh harga sawi minggu lepas kita jual (harga dari ladang) 50 sen 60 sen sekilogram… daun bawang 30 sen sekilogram tapi kos kita tanam lebih dari itu.

“Kita nak bungkus lagi, bayar logistik lagi… buat apa kutip (jual), jadi buang dan tanam semulalah. Kena buat macam ni, tak boleh simpan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya tidak mempunyai halangan jika kerajaan mahu mengimport sepenuhnya sayuran tidak dihasilkan petani tempatan antaranya lobak merah, kubis bunga, bawang, dan brokoli.

Minggu lalu, bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani Sim Tze Tzin menyeru kerajaan mengkaji semula pengimportan sayur-sayuran berleluasa dari Thailand dan China hingga menyebabkan harganya di pasaran jatuh mendadak dan merugikan pekebun tempatan.

Chay mendakwa pihaknya telah bertemu dengan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk membincangkan lambakan sayur dari luar negara namun hanya mendapat jawapan ‘kami akan lihat masalah ini’.

Beliau turut berharap trend kejatuhan harga itu kembali pulih menjelang Ogos, selepas berakhirnya musim buah ketika ini.

“Bulan ini musim buah jadi permintaan sayur memang kurang, harga jatuh banyak… tapi kita harap, Ogos nanti harga sayur akan naik sikit,” katanya sambil menambah negara juga perlu bersedia kemungkinan musim kemarau yang dijangka pada September.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.