DNB tak akan jadi projek gajah putih, kata menteri

DNB tak akan jadi projek gajah putih, kata menteri

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata ini kerana perkhidmatan 5G sudah mencapai 82% kawasan berpenduduk dalam tempoh tiga tahun.

dnb
Isnin lalu Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menzahirkan kebimbangan DNB menjadi umpama gajah putih apabila model dwirangkaian 5G dilaksanakan. (Gambar DNB)
PETALING JAYA:
Digital Nasional Bhd (DNB) tidak akan menjadi menjadi projek gajah putih kerana perkhidmatan 5G sudah mencapai 82% kawasan berpenduduk dalam tempoh tiga tahun, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Gobind berkata dalam tempoh itu juga, kadar penerima gunaan meningkat 43.6% serta mencapai 14.8 juta langganan.

Katanya, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) itu berada di landasan tepat baik dari segi pelanggan mahupun industri.

“Saya rasa tidak ada isu DNB menjadi gajah putih. DNB telah berjaya menunjukkan ‘roll up’ perkhidmatan 5G dalam tempoh tiga tahun,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau mengulas kenyataan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal Isnin lalu yang menzahirkan kebimbangan DNB menjadi umpama gajah putih apabila model dwirangkaian 5G dilaksanakan.

Ahli Parlimen Machang dan ketua Pemuda Bersatu berkata, langkah tersebut boleh menyebabkan kerajaan terpaksa menyelamatkan syarikat miliknya itu dengan kos berbilion ringgit.

“Kita tak mahu DNB jadi satu lagi gajah putih yang perlukan ‘bailout’ RM5 bilion hanya kerana nak tampung Huawei,” katanya pada episod audio siar PODaBOOM.

Menurut Gobind, kerajaan juga akan memberi tumpuan terhadap rangkaian perusahaan swasta agar dapat membawa 5G kepada industri kecil dan sederhana.

“Sudah tentu apabila guna 5G ini, ia akan meningkatkan perniagaan. Ini satu lagi kejayaan yang besar,” katanya.

Pada 2021, Malaysia memperkenalkan pelan supaya DNB mengawal keseluruhan spektrum 5G, dengan pelbagai pengendali rangkaian menggunakan prasarananya untuk perkhidmatan mudah alih.

Susulan kekhuatiran yang timbul bahawa monopoli DNB akan menyekat persaingan, kerajaan bersetuju membenarkan rangkaian kedua dilaksanakan oleh syarikat telekomunikasi, sebaik sahaja DNB mencapai liputan 80%.

Kerajaan juga bersetuju menjual 70% kepentingannya dalam DNB kepada pengendali rangkaian mudah alih.

Pada September tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dwirangkaian 5G akan membolehkan penyertaan lebih berkesan daripada Huawei, mengimbangi kedua-dua teknologi Timur dan Barat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.