
Beliau berkata, keadaan itu berlaku kerana kemarau panjang selain air disalurkan serentak untuk kegunaan pertanian, domestik dan industri.
“Saya tahu ada orang nak salah kerajaan pasal balak, tidak ada pembalakan di 72,000 hektar (Hutan Simpan Ulu Muda) di luar itu (kawasan tadahan air) ada kelulusan lama yang ditebang ikut kuota Jabatan Perhutanan iaitu 4,200 hektar setahun.
“Tapi bukan di situ (Ulu Muda) semua, ia di seluruh Kedah, ia tiada menjejaskan, air menjadi kurang sebab hujan tak turun, minta kepada Allah, jangan salah orang itu orang ini.
“Harap Allah beri rezeki hujan kepada kita dalam sehari dua ini untuk penuh kembali takungan, bukan untuk Kedah saja tapi negeri jiran juga (Pulau Pinang),” katanya menurut Harian Metro.
Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kembara Jiwa Merdeka sempena Hari Kebangsaan peringkat negeri di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Hari ini, paras air tiga empangan selian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) semakin menyusut susulan cuaca panas berterusan sejak beberapa bulan lalu.
Mengikut rekod di laman web Mada, paras air di Empangan Muda terus menyusut dan hanya tinggal 8% manakala Empangan Pedu sebanyak 39.09% dan Empangan Ahning 81.80% dengan purata keseluruhan takungan air bagi ketiga-tiga empangan adalah 43.68%.
Sanusi berkata, beliau sudah membuat tinjauan di Empangan Beris dan Empangan Muda sehari sebelum operasi pembenihan awan bagi melihat sendiri aliran air sungai di kawasan berkenaan.
Katanya, pemerhatian mendapati arus sungai masih deras walaupun kadar takungan air di empangan menyusut.
“Kita ada banyak sungai (membekalkan air) kepada empangan seperti Sungai Teliang, Sungai Muda, ada banyak anak sungai yang membentuk Sungai Teliang.
“Saya tengok masalah air memang kita hadapi masalah sudah lama, saya buat tinjauan itu sehari sebelum pembenihan awan, hari itu (Ahad) hujan lebat dengan angin, esok pembenihan awan, hujan renyai,” katanya.