
KPM memaklumkan, pengambilan sukarelawan guru bahasa Inggeris dari Singapura hasil perbincangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya, Lawrence Wong, Jun lalu berbentuk hubungan diplomasi antara kedua-dua negara dan ia dibiayai kerajaan Singapura.
Cadangan tersebut sedang diteliti, menurut KPM, terutama dari sudut pelaksanaan di institusi pendidikan KPM.
Hal ini bagi memastikan ia selari dengan dasar serta peraturan sedia ada, manakala sukarelawan berkelayakan sedang dikenal pasti bagi menjamin kualiti pengajaran dan pembelajaran, tambahnya.
“Skim ini bertujuan membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris murid di kawasan miskin bandar, pinggir bandar dan luar bandar, termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan menjawab soalan Senator Ti Lian Ker yang ingin tahu kesan pengambilan sukarelawan itu kepada graduan dan guru tempatan.
“Penguasaan bahasa Inggeris yang baik dapat membantu meningkatkan daya saing negara, memudahkan perdagangan pada peringkat antarabangsa serta membolehkan akses kepada pengetahuan terkini khusus dalam bidang sains dan teknologi,” kata KPM.
Sementara itu, KPM memaklumkan, hasil libat urus bersama pihak berkepentingan mendapati masih belum ada keperluan untuk memperluas Program Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK).
KPM berkata, sesi libat urus dengan badan bukan kerajaan dan pihak berkuasa negeri dan tempatan telah diadakan bagi mendapatkan input serta pandangan dalam pengendalian akses pendidikan kepada kanak-kanak gelandangan warganegara tanpa dokumen atau seumpamanya di seluruh negara.
Sesi libat urus itu melibatkan 11 negeri iaitu Pulau Pinang, Johor, Pahang, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Perak, Sarawak dan Sabah.
“Bagaimanapun hasil libat urus (tersebut), didapati masih belum ada keperluan bagi peluasan Program SBJK di negeri-negeri tersebut,” kata KPM menjawab soalan Senator Abun Sui Anyit mengenai kekangan dihadapi KPM dalam memperluas program SBJK.