Umno mula proses tuntut ganti rugi RM100 juta dari Jailani

Umno mula proses tuntut ganti rugi RM100 juta dari Jailani

Asyraf Wajdi Dusuki berkata mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bersetuju proses perundangan terhadap Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis dimulakan.

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki tuntutan terhadap Muhammad Jailani Khamis dibuat selaras dengan perjanjian dimeterai terhadap wakil rakyat yang meninggalkan dan membelakangi pendirian parti.
PETALING JAYA:
Umno setuju memulakan proses undang-undang dan menuntut ganti rugi serta pampasan RM100 juta daripada Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis kerana menyertai PAS.

Dalam kenyataan, Setiausaha Agungnya Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia selaras dengan perjanjian dimeterai terhadap wakil rakyat yang meninggalkan dan membelakangi pendirian parti.

Asyraf berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, malam ini.

PAS pada satu sidang media di Parlimen pada 16 Jul mengumumkan Jailani telah menyertai parti itu selepas diterima sebagai ahli pada Jun 2023.

Setakat 9 Sept tahun lalu media melaporkan Jailani sebagai ahli Umno, apabila lembaga disiplin parti mengesyorkan beliau digantung keahlian.

Jailani menyertai Umno pada Jun 2021 selepas meninggalkan PKR, dan mempertahankan kerusi DUN Rembia atas tiket Barisan Nasional pada PRN tahun sama.

Sementara itu, Asyraf berkata MKT turut mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan secara kejam ke atas pemimpin Hamas Ismail Haniyeh di Tehran, Iran.

“Pembunuhan pimpinan tertinggi Hamas yang memainkan peranan utama dalam usaha gencatan senjata demi keamanan di Gaza ini, membuktikan kebaculan dan kegilaan Zionis Israel yang berterusan melakukan genosid ke atas rakyat Palestin.

“Umno bertekad terus menyokong perjuangan pembebasan Palestin dan sentiasa bersama dengan saudara kami di kalangan Hamas, Fatah dan seluruh rakyat Palestin yang sekian lama ditindas dan dirampas hak mereka oleh Zionis Israel,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf berkata semua ahli MKT diminta berkampung dan menyelaras gerak-kerja jentera parti di setiap pusat daerah mengundi di Nenggiri sempena PRK bermula penamaan calon, Sabtu ini.

PRK Nenggiri diadakan selepas DUN Kelantan pada 19 Jun lalu mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas dimaklumkan Mohd Azizi Abu Naim bukan lagi ahli Bersatu.

Keahlian Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dihentikan selepas dia gagal mengisytiharkan kesetiaannya kepada parti dan menunjukkan sokongan kepada Anwar Ibrahim selaku perdana menteri.

Pada PRN tahun lalu, Azizi menewaskan Ab Aziz Yusoff daripada Umno, bekas Adun kawasan itu dalam persaingan satu lawan satu dengan majoriti 810 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 3 Ogos dan undi awal 13 Ogos.

Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon manakala Perikatan Nasional (PN) menamakan Mohd Rizwadi Ismail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.