PRK Nenggiri: Bersatu tak tandus calon, Rizwadi tepati citarasa pengundi

PRK Nenggiri: Bersatu tak tandus calon, Rizwadi tepati citarasa pengundi

Ketua Bersatu Kelantan Kamaruddin Md Noor nafi mereka ketandusan calon dan terpaksa 'mengimport' Mohd Ridzwadi Ismail dari PAS.

Kamaruddin Md Noor
Ketua Bersatu Kelantan Kamaruddin Md Noor menolak dakwaan bekas pemimpin PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Bersatu untuk mengelakkan boikot dari jentera PAS pada PRK Nenggiri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bersatu Kelantan mendakwa mereka mempunyai ramai pemimpin boleh diketengahkan sebagai calon PRK Nenggiri, namun menjelaskan pemilihan bekas ahli PAS Mohd Rizwadi Ismail dibuat untuk menepati ‘citarasa’ pengundi.

Ketuanya Kamaruddin Md Noor berkata tidak timbul soal ketandusan calon seperti didakwa Umno sehingga mereka terpaksa ‘mengimport’ Rizwadi yang menyertai parti itu dua hari sebelum diumum mewakili Perikatan Nasional (PN), Isnin lalu.

“Cuma nak cari menepati citarasa pengundi tempatan dan tidak mengkhianati pengundi, itu ambil masa lebih untuk memilih calon.

“Apa kelebihan umum awal calon? Menang kalah ditentukan pengundi yang telah melihat dua bakal calon,” katanya kepada FMT.

Beliau turut menafikan kononnya pemilihan Rizwadi dibuat selepas pucuk pimpinan menemui jalan buntu dengan dua calon awal sebelum ini iaitu bekas ketua Pemuda Umno Gua Musang Sheikh Razali Hamad dan penggawa kerajaan di Dabong Sun Najaman Muhamad.

Kamarudin turut menolak pemilihan bekas timbalan ketua pemuda PAS Gua Musang itu dibuat kerana bimbang boikot jentera PAS pada PRK 17 Ogos depan.

PAS Gua Musang sebelum ini berharap calonnya diberi laluan bertanding PRK DUN Nenggiri dengan alasan kebimbangan pengundi episod peralihan sokongan berulang jika wakil Bersatu diletakkan, merujuk tindakan penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Umno Kelantan Zawawi Othman mendakwa Bersatu ketandusan calon apabila terpaksa mengambil bekas ahli PAS menyertai parti itu untuk bertanding PRK Nenggiri.

PRK Nenggiri diadakan selepas DUN Kelantan pada 19 Jun lalu mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas dimaklumkan Azizi bukan lagi ahli Bersatu.

Keahlian Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dihentikan selepas dia gagal mengisytiharkan kesetiaannya kepada parti dan menunjukkan sokongan kepada Anwar selaku perdana menteri.

Pada PRN tahun lalu, Azizi menewaskan Ab Aziz Yusoff daripada Umno, bekas Adun kawasan itu dalam persaingan satu lawan satu dengan majoriti 810 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 3 Ogos dan undi awal 13 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.