
MAHB berkata, Mohd Izani yang dinamakan oleh Kementerian Kewangan untuk jawatan itu, merupakan bekas ahli lembaga pengarah dan berkhidmat selama sembilan tahun dari 2011 hingga 2019.
“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Ekonomi) dengan pengkhususan dalam Perakaunan dan Kewangan London School of Economics and Political Science, United Kingdom,” kata MAHB dalam kenyataan.
“Selain itu, beliau berpengalaman luas selama lebih tiga dekad dalam pelaburan dan pengurusan. Sebelum pelantikannya di MAHB, beliau berkhidmat sebagai pengarah urusan UEM Group Bhd sejak 1 Ogos 2019, susulan pelantikan awal sebagai pengarah eksekutif pada 1 Jan 2019.”
Sebelum berkhidmat di UEM Group, Mohd Izani menggalas tanggungjawab sebagai pengarah eksekutif pelaburan di Khazanah Nasional Bhd, menerajui Pejabat Wilayah Turki dan mengetuai beberapa urus niaga sukuk penting selaku ketua pegawai kewangan.
Sementara itu, Pengerusi MAHB Nungsari Ahmad Radhi menyifatkan pengalaman Mohd Izani dalam sektor lapangan terbang dan infrastruktur selain kepimpinan yang telah terbukti, mampu memacu kumpulan ke arah pertumbuhan dan kejayaan berterusan.
Dalam pada itu, Lembaga Pengarah MAHB mengumumkan Ketua Pegawai Kewangan kumpulan Mohamed Rastam Shahrom akan melepaskan jawatannya pada 31 Julai untuk peluang kerjaya baharu.
“Mohamed Rastam yang berkhidmat sebagai pemangku ketua pegawai eksekutif kumpulan sejak Oktober 2023, berperanan penting dalam mengukuhkan keadaan kewangan kumpulan dan melaksanakan inisiatif strategik bagi meningkatkan kecekapan operasi dan keuntungan.
“Kepimpinan dan visi beliau juga penting dalam mengemudi MAHB mengharungi cabaran susulan pandemik Covid-19,” kata MAHB.