
Koroner Surita Budin ketika membacakan keputusan itu berkata, kematiannya bukan kemalangan atau kecelakaan, tetapi akibat tergantung dalam buaian yang ditinggalkan pengasuh.
“Kematiannya disebabkan tekanan pada leher dan tekanan ini bersesuaian dihasilkan oleh berat badan si mati apabila lehernya tersangkut di bahagian tepi sisi hujung kain buaian.
“Bagi tujuan inkues ini, saya telah berpuas hati bahawa atas imbangan kebarangkalian berdasarkan keterangan saksi apabila dilihat secara keseluruhannya untuk mahkamah memutuskan kematian si mati bukanlah kemalangan atau kecelakaan.
“Tetapi, terdapat keterangan kukuh menunjukkan si mati tergantung di dalam buaian disebabkan tindakan atau tinggalan S19 (pengasuh) yang tinggalkannya di dalam buaian tanpa pengawasan sewajarnya dalam jangka masa munasabah,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, keadaan itu akhirnya menyebabkan kematian mangsa yang membawa kepada perbuatan menyalahi undang-undang.
Ibu bapa Baby Syifaa, iaitu Anida Idrus dan Yuseri Yussof turut hadir mendengar keputusan itu. Turut serta beberapa penyokong berpakaian hitam.
Seramai 28 saksi dipanggil memberi keterangan, termasuk ibu bapa Baby Syifaa sepanjang prosiding inkues bermula 22 Sept 2022.
Bayi 15 bulan itu ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah bilik pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Feb 2022.
Pada 30 Mac 2022, Yuseri dilaporkan mendakwa anaknya dijerut, bukannya meninggal dunia akibat kepala terjerut pada kain buaian.