Dadah: Bekas vokalis Projek Pistol didenda RM5,500

Dadah: Bekas vokalis Projek Pistol didenda RM5,500

Juara program nyanyian Gegar Vaganza musim ketujuh itu juga dikenakan tempoh pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan selama dua tahun.

Cliff Umar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam terhadap dua pertuduhan berkait dadah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas vokalis kumpulan Projek Pistol Cliff Umar didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan memiliki dan memberi dadah kepada dirinya sendiri pada Mei lalu.

Majistret Sasha Diana Sabtu membuat keputusan itu selepas Cliff atau nama sebenarnya, Abdullah Umar Joseph, 42, membuat pengakuan bersalah terhadap dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Bapa kepada empat anak itu turut diperintahkan menjalani hukuman tambahan penjara selama 13 bulan jika gagal membayar denda.

Juara program nyanyian Gegar Vaganza musim ketujuh itu juga dikenakan tempoh pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun, lapor Harian Metro.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, Cliff didakwa memiliki dadah jenis heroin dan monoacetylmorphine seberat 0.9g di tepi Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya, pada 3.30 petang 26 Mei lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya.

Dia juga dituduh dengan sengaja memberikan diri sendiri dadah berbahaya jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid (thc) di tandas Balai Polis USJ8, Subang Jaya pada 6 petang pada tarikh sama.

Peguam Sallehuddin Salam yang mewakili Cliff dalam rayuan memohon hukuman denda minimum dikenakan susulan anak guamnya menanggung isteri dan empat anak.

“Anak guam saya juga mempunyai masalah kewangan dan tiada pendapatan tetap dengan bergantung sebagai kerjayanya sebagai pemuzik,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran memohon hukuman berbentuk deterrent (pencegahan) ekoran kekerapan kes dan membabitkan kepentingan awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.