
Kementerian Ekonomi berkata, kerajaan akan terus berusaha memastikan ekonomi negara terus berkembang dan tidak terkesan dengan gerakan pemboikotan itu.
Ia menjelaskan pembaharuan struktur ekonomi yang sedang dilaksanakan dijangka menyokong sasaran pertumbuhan ekonomi bagi mempercepat peralihan ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.
“Pada masa yang sama, syarikat berjenama tempatan wajar mengambil peluang serta lebih kreatif dan inovatif dalam menawarkan produk tempatan yang berkualiti dan memenuhi cita rasa rakyat tempatan.
“Tindakan ini secara tidak langsung akan meningkatkan lagi permintaan untuk produk buatan Malaysia,” kata kementerian menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Kementerian Ekonomi berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Ahmad Ibrahim yang meminta kementerian tersebut menyatakan peratusan pertumbuhan ekonomi untuk subsektor minuman dan makanan ketika kebanyakan pemain industri itu mengalami tekanan akibat gerakan boikot.
Katanya, konflik Asia Barat antara rejim zionis Israel dan Palestin yang berlaku sejak Oktober tahun lepas mendorong kebanyakan rakyat Malaysia memboikot sebahagian perniagaan syarikat jenama luar negara.
“Pemboikotan ini menyebabkan pengguna cenderung beralih kepada jenama makanan dan minuman keluaran tempatan,” tambahnya.