Air kolam Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin tercemar e-coli

Air kolam Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin tercemar e-coli

Perkara itu disahkan selepas keputusan sampel air dihantar ke Jabatan Kimia pada Ahad diperoleh pagi tadi.

Jabatan Kimia mengesahkan air kolam renang dan kolam terjun di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru Arena Larkin mengandungi e-coli. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sampel air dari Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin disahkan mengandungi bakteria escherichia coli (e-coli).

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah, berkata perkara itu disahkan selepas keputusan sampel dihantar ke Jabatan Kimia pada Ahad diperoleh pagi tadi.

“Jabatan Kimia sudah menjalankan analisis terhadap sembilan sampel air yang dikumpul termasuk kolam renang utama, kolam terjun, tandas dan tangki takungan.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kimia, semua sembilan sampel tercemar oleh bakteria e- coli. E-coli ialah spesies bakteria yang hidup dalam usus manusia dan haiwan yang boleh menyebabkan jangkitan melalui makanan, air, atau sentuhan tercemar dengan najis membawa bakteria,” katanya menurut Sinar Harian.

Hairi berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pantri kepada Hospital Negeri Johor di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Khamis lalu, 19 pelajar daripada 900 peserta mengambil bahagian dalam Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) 2024 terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami gejala seperti muntah, demam dan kulit gatal dipercayai terkesan dengan air kolam renang dan kolam terjun di pusat berkenaan.

Hairi berkata, beliau kesal dengan pihak pengurusan kolam terbabit yang tidak membuat persiapan sewajarnya, sehingga menyebabkan 19 peserta mengalami gejala tidak sihat.

“Saya turut meminta Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) membuat siasatan berhubung insiden berkenaan.

“Saya juga minta Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) terus berhubung dengan MSNJ untuk sukan di peringkat sekolah agar dapat nasihat berhubung penggunaan fasiliti aset sebelum kejohanan berlangsung,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.