Tuah penampilan sulung Olimpik Jin Wei

Tuah penampilan sulung Olimpik Jin Wei

Pemain badminton perseorangan wanita negara itu menang 23-21, 21-11 menentang Johanita Scholtz pada acara Kumpulan H.

Goh Jin Wei
Goh Jin Wei akan berdepan ujian getir bertemu pemain ranking ke-17 dunia Kim Ga Eun dari Korea Selatan pada Rabu. (Gambar Bernama)
PARIS:
Pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei memulakan kempen sulungnya di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan langkah kanan apabila mengatasi juara Sukan Afrika dua kali, Johanita Scholtz pada acara perseorangan Kumpulan H hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, pemain berusia 24 tahun itu terpaksa berhempas pulas pada set pertama sebelum berjaya menemukan rentak pada set kedua, mencapai kemenangan 23-21, 21-11 ke atas pemain ranking 103 dunia itu.

Namun, Jin Wei, pemain No 32 dunia tidak berada dalam prestasi terbaiknya semasa perlawanan itu tanpa kehadiran jurulatihnya Nova Armada, dan akan berdepan ujian getir bertemu pemain ranking ke-17 dunia Kim Ga Eun dari Korea Selatan pada Rabu.

Justeru, pertemuan dengan lawan dari Korea itu akan menjadi penentu juara kumpulan.

Mengikut format pertandingan, hanya juara kumpulan dalam acara perseorangan layak ke pusingan 16 terakhir.

“Saya rasa agak tegang dan tertekan, tidak tahu apa yang berlaku, hampir menggeletar … Macam tak biasa lagi. Namun, berjaya mendapatkan rentak pada set kedua dan agak bernasib baik untuk menang.

“Tetapi saya rasa banyak kerja yang perlu dilakukan dalam perlawanan kedua seperti meningkatkan kawalan di gelanggang. Penonton di sini sangat hebat, mereka menyokong semua pemain tidak kira siapa,” katanya selepas perlawanan.

Susulan bersendirian di sini, Jin Wei menerima bimbingan daripada Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky dan jurulatih beregu lelaki negara Tan Bin Shen.

Jin Wei tidak ditemani jurulatih profesionalnya Nova di sini berikutan kuota kad akreditasi yang terhad dikeluarkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Berdasarkan rekod, Jin Wei hanya menang sekali dalam tiga perlawanan menentang Ga Eun manakala perlawanan terakhir antara mereka pada Terbuka Korea 2022 memihak kepada pemain tuan rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.