Rugi lebih RM260,000 wang KWSP terpedaya ‘phone scam’

Rugi lebih RM260,000 wang KWSP terpedaya ‘phone scam’

Pegawai bank berusia 55 tahun itu memindahkan wang KWSP ke dalam akaun bank atas arahan suspek, serta menyerahkan maklumat akaun bank.

scammers
Mangsa, seorang pegawai bank berusia 55 tahun, menerima panggilan daripada suspek mendakwa pegawai SKMM pada 16 Julai lepas, sebelum panggilan disambungkan kepada individu kononnya polis.
PETALING JAYA:
Seorang pegawai bank kerugian RM260,400 wang simpanan Kumpulan Simpanan Wang Pekerjanya selepas terperdaya dengan sindiket penipuan melalui panggilan telefon.

Menurut Ketua Polis Pahang Yahaya Othman, lelaki berusia 55 tahun itu menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa pegawai daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 16 Julai lepas, yang memaklumkan beliau terlibat dengan jenayah komersial.

Panggilan itu kemudian disambungkan kepada suspek kononnya polis yang menyatakan surat Perintah Penangkapan dan Perintah Pembekuan Aset daripada Mahkamah Persekutuan telah dikeluarkan terhadapnya.

“Mangsa turut diminta menyerahkan harta bagi tujuan itu dan memindahkan wang KWSP ke dalam akaun bank atas arahan suspek bersama-sama maklumat akaun bank,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari wang dalam akaun miliknya berkurangan apabila memeriksa dengan bank semalam.

Mangsa mendapati beberapa transaksi pengeluaran wang berjumlah RM260,400 telah dilakukan, tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.