Permohonan Najib, Nazifuddin tangguh prosiding bankrap ditolak

Permohonan Najib, Nazifuddin tangguh prosiding bankrap ditolak

Mahkamah Tinggi menolak menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap Najib Razak dan anak lelakinya kerana gagal melunaskan tunggakan cukai.

najib nazif
Pada 16 Okt 2023, Mahkamah Persekutuan memutuskan Najib Razak dan anaknya Mohd Nazifuddin perlu melunaskan cukai tertunggak masing-masing iaitu RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas perdana menteri Najib Razak dan anaknya Mohd Nazifuddin untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka kerana gagal melunaskan tunggakan cukai masing-masing iaitu RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.

Perkara itu disahkan oleh peguam mereka Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika ditemui pemberita selepas prosiding yang berlangsung dalam kamar.

“Permohonan hari ini adalah untuk menangguhkan prosiding kebankrapan bagi membolehkan pendengaran di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan berjalan dahulu. Bagaimanapun, Timbalan Pendaftar Kamarul Aris Kamalluddin tidak membenarkan permohonan kami.

“Kami akan mengemukakan rayuan secepat mungkin,” kata beliau sambil menambah bahawa setakat ini, tiada pengisytiharan bankrap dan hanya notis kebankrapan dikeluarkan kepada anak guamnya.

Pada 16 Okt 2023, Mahkamah Persekutuan memutuskan kedua-dua beranak itu perlu melunaskan cukai tertunggak selepas menolak rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap mereka.

Najib dan anak lelakinya itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memasukkan penghakiman terus dalam kes tunggakan cukai terhadap mereka.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Dua Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai daripada Najib dan Nazifuddin bagi tempoh 2011 dan 2017.

Najib dan Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada Sept 2021 bagi mengetepikan penghakiman terus.

Pada 10 Mei 2022, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada mereka untuk meneruskan rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.