MySel bukan untuk daftar warga asing jadi rakyat, kata MB

MySel bukan untuk daftar warga asing jadi rakyat, kata MB

MySel diwujudkan untuk membantu memudah cara penduduk Selangor yang berdepan masalah mendapatkan dokumen pengenalan diri, kata Amirudin Shari.

amirudin shari
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menyerahkan kad pengenalan kepada R Suppama pada majlis penyerahan dokumen MySel di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Pelaksanaan Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri MySel (MySel) bukan bertujuan mendaftarkan warga asing sebagai warganegara, khususnya sebagai penduduk Selangor, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Beliau berkata, MySel yang diwujudkan sejak 2018 juga bukan untuk mengambil alih tugas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebaliknya satu usaha membantu memudah cara penduduk negeri ini yang berdepan masalah mendapatkan dokumen pengenalan diri.

“Ada pihak mencemuh dan berprasangka buruk dengan mendakwa usaha kerajaan melalui MySel adalah untuk mendaftar orang luar sebagai warganegara dan juga penduduk Selangor,” katanya.

“Kerajaan negeri wujudkan MySel bukan untuk mengambil alih tugas JPN atau melaksanakan sesuatu tujuan di luar bidang kuasa atau menyalahi undang-undang kerana proses memudah cara ini akhirnya memerlukan JPN sebagai pihak berautoriti untuk membuat pengesahan.”

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan dokumen MySel yang turut dihadiri Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu.

Pada majlis itu, Amirudin turut menyerahkan kad pengenalan kepada seramai 30 penerima pelbagai bangsa.

Amirudin berkata, secara keseluruhan, program MySel sehingga kini telah membantu menyelesaikan lebih 2,000 kes berkaitan dokumen pengenalan diri daripada lebih 6,000 permohonan yang diterima.

Katanya, kelulusan permohonan tertinggi diberikan kepada kaum Melayu, iaitu 48% diikuti kaum lain.

Beliau berkata, statistik itu menafikan dakwaan bahawa kelulusan MySel lebih banyak diberikan kepada kaum bukan Melayu, sekali gus menunjukkan masalah pendaftaran dokumen pengenalan diri ialah isu semua rakyat, bukan tertumpu kepada sesuatu bangsa atau agama sahaja.

Antara faktor permasalahan itu termasuk masalah sosial dan ekonomi ibu bapa atau penjaga, isu kekeluargaan seperti pendaftaran perkahwinan, isu bahasa atau komunikasi dan proses dokumentasi merumitkan seperti memerlukan pengesahan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).

“Kerajaan menerusi MySel akan cuba menyelesaikan semua permohonan kerana tidak mahu mereka yang terlibat terlepas menikmati apa-apa program, bantuan atau inisiatif yang disediakan kerajaan negeri memandangkan setiap urusan berkaitan memerlukan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.